KEMAJUAN teknologi amat penting dan perlu dimanfaatkan semua pihak dalam usaha memerangi jenayah rasuah,” ujar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025.
Beliau menyampaikan ucaptamanya pada hari pertama persidangan ICTHM bertemakan Masa Depan Lestari: Mengurus Peralihan Digital – Manusia
yang berlangsung di Zikura International College, Maldives.
Katanya, kemajuan teknologi amat penting dan perlu dimanfaatkan semua pihak dalam usaha memerangi jenayah rasuah.
“Perkembangan teknologi dari semasa ke semasa turut membawa kepada cabaran baharu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.
“Ini seperti jenayah siber, penipuan mata wang kripto (Cryptocurrency) dan penyalahgunaan Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan yang menjadikan kegiatan jenayah ini semakin canggih, sukar dijejak serta sering bersifat transnasional,” katanya dalam kenyataan.
Azam bagaimanapun berkata kemajuan teknologi ini sebenarnya boleh dimanfaatkan dengan penggunaan AI atau kecerdasan buatan termasuk penggunaan daripada aspek analitik data serta teknologi blockchain.
“Sebagai contoh, blockchain membolehkan rekod transaksi yang tidak boleh diubah, manakala penggunaan AI dapat mengesan corak penipuan dan ketidak teraturan kewangan selain penggunaan sistem e-pentadbiran yang boleh mengurangkan peluang berlakunya rasuah.
“Atas faktor ini, SPRM turut mengintegrasikan kemajuan teknologi ini di dalam operasi dan siasatan untuk terus berada terkehadapan dalam menghadapi taktik jenayah rasuah yang berkembang ini agar usaha memerangi rasuah kekal berkesan,” katanya.
Sementara itu, Azam berkata, SPRM telah melengkapkan pegawai di Suruhanjaya ini dengan alatan forensik yang canggih serta perisian data analitik yang pelbagai jenis.
Katanya, ini termasuk menyediakan latihan khusus dalam bidang seperti kewangan, perakaunan, kejuruteraan serta teknologi di mana Bahagian Perisikan, Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dan Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM diletakkan berada di barisan hadapan.
“Inisiatif ini dengan kelengkapan dan kepakaran terkini untuk menjalankan forensik digital dan siasatan kewangan.
“Malah, atas usaha ini, Makmal Forensik SPRM baru-baru ini telah menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017, yang mengesahkan pengiktirafan global terhadap kerja analisis forensik dalam bidang teknologi,” katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyokong penggunaan platform digital seperti sistem eperolehan yang mempromosikan ketelusan dalam perolehan awam dan peralihan kepada sistem tanpa tunai yang mengurangkan rasuah serta salah urus dana awam.
Beliau berkata sistem seperti ini memastikan bahawa subsidi, kebajikan dan gaji dipindahkan terus kepada penerima manfaat tanpa perantara sekali gus mengurangkan peluang berlakunya rasuah.
Selain itu, Azam turut berkongsi komitmen SPRM untuk terus memantau sektor-sektor utama seperti penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam dan Grand Corruption, sebagai salah satu agenda utama memerangi rasuah serta ketirisan.
Katanya, komitmen ini sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) Malaysia yang 9ij untuk mengukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor.
Dalam ucapannya itu juga, beliau berkata bagi meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai di suruhanjaya ini dalam memerangi jenayah rasuah seiring dengan penggunaan teknologi, SPRM juga mengutamakan pembangunan berterusan pegawai dengan menghantar mereka ke program latihan khusus.
Katanya, latihan itu dalam bidang seperti kewangan, perakaunan, kejuruteraan dan disiplin lain yang relevan untuk memperluaskan pengetahuan serta kemahiran mereka.
“Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) memainkan peranan penting dalam membentuk kepimpinan beretika serta memperkukuh usaha antirasuah melalui pendidikan dan kerjasama antarabangsa.
“MACA telah menjalinkan kerjasama erat
dengan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom serta Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), selaras dengan visinya untuk menjadi pusat kecemerlangan antirasuah terbaik di dunia,” katanya.
Sementara itu beliau turut berkongsi mengenai kerjasama antara SPRM dan AntiCorruption Commission (ACC) Maldives yang dijalankan tahun lalu telah mula membuahkan hasil positif bagi kedua-dua pihak.
Katanya, beberapa sesi perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman juga telah diadakan sekali gus mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa. – WILAYAHKU