PERJANJIAN Malaysia 1963 atau Malaysia Agreement (MA63) merupakan dokumen penting yang menetapkan asas pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.
MA63 adalah asas undang-undang yang penting dalam memahami hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia, terutama dalam konteks hak dan autonomi wilayah Sabah dan Sarawak.
Bertahun berlalu, MA63 masih membelenggu asas pembentukan Malaysia, dengan kini Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan perjanjian itu secara tuntas dan adil.
Sebagai sebuah Persekutuan yang berasaskan semangat kebersamaan antara negeri-negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, adalah penting untuk Kerajaan Persekutuan menghormati dan menunaikan tuntutan berkaitan MA63. MA63 bukan hanya dokumen sejarah, tetapi asas pembentukan Malaysia yang menetapkan hak-hak dan autonomi tertentu kepada Sabah dan Sarawak.
Demikian antara ditegaskan Sarjana Pelawat di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SOAS), University of London, Dr Nur Ayuni Mohd Isa ketika diajak Wilayahku berbicara mengenai MA63.
Namun begitu menurut beliau, pelaksanaan tuntutan tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat, berdasarkan keperluan semasa, keutamaan rakyat serta kemampuan dan teknikal Kerajaan Persekutuan. Ini penting bagi memastikan segala pelaksanaan tidak memberi tekanan kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.
Prinsip utamanya ialah keterbukaan, rundingan yang berterusan dan keikhlasan politik antara semua pihak. MA63 bukan sekadar isu perundangan, tetapi lambang pengiktirafan kepada semangat federalisme dan keadilan untuk semua wilayah dalam Malaysia.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu media bahawa Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 setakat ini.

Penyelesaian itu termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN. Perkara lain yang diselesaikan ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta penyediaan garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Melihat kepada kesungguhan tersebut, Nur Ayuni berpandangan penyelesaian sembilan tuntutan itu oleh kerajaan MADANI merupakan satu langkah penting dalam usaha memperbetul ketidakseimbangan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak yang telah lama menjadi isu tertangguh.
Ini katanya, menunjukkan adanya kemahuan politik di peringkat pusat untuk mengiktiraf kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam MA63. Namun begitu, dari sudut politik tempatan, penyelesaian ini masih belum cukup untuk meredakan sepenuhnya sentimen ‘Sabah untuk Sabahan’ dan rasa curiga terhadap parti-parti dari Semenanjung (parti Malaya).

“Sentimen anti parti Malaya bukan hanya berasaskan isu teknikal seperti agihan kuasa atau kewangan, tetapi juga berpunca daripada persepsi pengabaian, layanan tidak adil, dan kurangnya autonomi dalam hal ehwal negeri. Malah, sebahagian rakyat Sabah melihat penyertaan parti-parti Semenanjung dalam politik tempatan sebagai bentuk penjajahan politik baharu.
“Maka, walaupun penyelesaian sembilan tuntutan ini wajar dipuji, ia belum cukup untuk menukar persepsi akar umbi jika isu-isu seperti pembangunan luar bandar, pengiktirafan hak pribumi, serta pengurusan sumber asli tidak ditangani secara inklusif dan tuntas.
“Bagi kerajaan MADANI, langkah seterusnya adalah memastikan bahawa penyelesaian ini benar-benar memberi impak nyata kepada rakyat Sabah bukan sekadar di atas kertas atau kenyataan media. Dalam suasana politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi, penyelesaian MA63 boleh menjadi aset politik, tetapi hanya jika disertakan dengan perubahan substantif dan dialog terbuka bersama rakyat Sabah sendiri,” tegasnya dalam nota ringkas kepada Wilayahku.
Melangkaui semuanya itu, Nur Ayuni menegaskan bahawa MA63 merupakan asas penubuhan Malaysia dan harus difahami sebagai satu perjanjian antara rakan kongsi yang setara, bukan antara pusat dan ‘cawangan’. Dalam perjanjian ini, Sabah dan Sarawak diberikan kuasa khas seperti kawalan imigresen dan hak terhadap hasil bumi mereka, berasaskan latar belakang geografi, budaya dan sejarah yang berbeza daripada Semenanjung.
Apabila masyarakat di Semenanjung memahami bahawa tuntutan berkaitan MA63 bukanlah permintaan untuk keistimewaan tambahan, tetapi adalah usaha menuntut semula hak yang telah termaktub secara sah dalam perjanjian asal, maka akan lahir rasa hormat dan saling memahami antara wilayah. Kesedaran ini penting untuk memperkukuh semangat Persekutuan dan memperdalam kefahaman tentang makna sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang inklusif dan adil.

Kerajaan Persekutuan pula memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam melaksanakan komitmen MA63 secara berperingkat. Pelaksanaan ini wajar diselaraskan dengan kemampuan fiskal negara dan keutamaan dasar semasa, namun harus tetap berpaksikan prinsip kesaksamaan dan saling menghormati.
“Ini bukan semata-mata soal pentadbiran atau politik, tetapi berkait rapat dengan asas kepercayaan antara wilayah serta masa depan penyatuan negara Malaysia itu sendiri,” tegas beliau.
MA63 bukan sekadar tulisan perjanjian di atas kertas, ia sebuah penegasan untuk mengharmonikan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang sekian lama menikmati apa yang dinamakan semangat penyatuan Malaysia itu sendiri.
Mana mungkin kita mengetepikan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia yang saling perlu-memerlukan antara satu sama lain.
Bak lagu Seiring Sejalan nyanyian Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika, frasa popular Segulai Sejalai (berjalan seiringan) dan Misompuru (bersatu), ia seharusnya menjadi pegangan kita bersama dalam Malaysia.