NEGARA MADANI boleh dipupuk, diangkat melalui keluarga berlandaskan enam teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut bermula dengan latihan dari dalam keluarga masing-masing terlebih dahulu.
“Keluarga sangat penting untuk menjayakan Negara MADANI. Contohnya, di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sebaik sahaja anak-anak dilahirkan, mereka ini diajar untuk mengenal pencipta, seterusnya ilmu-ilmu lain untuk meniti kehidupan.
“Tradisi ilmu yang dipupuk sedemikian rupa sebagai garis dan landasan yang menjadikan seseorang itu menjadi insan yang berilmu. Sebagai contoh, dunia sekarang dipaparkan dengan kekejaman yang terjadi di Palestin yang mampu mengguris perasaan kita biarpun berlainan bangsa kerana adanya sifat ihsan, kasih sayang,” ujar beliau keluarga merupakan asas cerminan kepada masyarakat yang stabil dan sejahtera.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
BKK 2023 yang berlangsung sehingga esok diwarnai dengan pengisian beberapa aktiviti antaranya Zumba Keluarga dan Family Fun Walk sepanjang lima kilometer sekitar Putrajaya, Ekspo KASIH MADANI, Jualan Rahmah dan aktiviti Mini Karnival Kasih MADANI
Selain itu, turut diadakan Anugerah Khas MADANI bertujuan mengiktiraf amalan baik majikan yang memberi sokongan kepada usaha kerajaan bagi membantu rakyat dalam mengimbangi kerja dan keluarga.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – WILAYAHKU