DALAM usaha memperkasa masyarakat setempat dengan kemahiran teknologi, Kelab RekaCipta Putrajaya, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), terus memainkan peranan penting dalam membina komuniti yang mampan dan berdaya saing melalui penganjuran pelbagai program berteraskan inovasi dan reka cipta.
Bertemakan matlamat untuk membudayakan teknologi dalam kehidupan harian, kelab ini menganjurkan pelbagai bengkel dan kelas kemahiran seperti Asas Pendawaian Elektrik, Pendawaian Panel Solar, Kelas Robotik, Kelas Dron serta Kelas Membaiki Mesin Basuh yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Pengerusi Kelab RekaCipta Putrajaya, Ab Malik Awang Hamat berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menyemai budaya inovasi dalam komuniti dan mendorong masyarakat agar tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta dan penyelesai masalah berasaskan teknologi.
“Kelab ini bukan sahaja menawarkan pelbagai kursus teknikal kepada masyarakat setempat, malah menjadi platform pembentukan budaya inovasi di peringkat akar umbi.
“Kami percaya pendedahan awal dan latihan berterusan dalam bidang teknologi mampu membuka peluang baharu, menjana pendapatan dan meningkatkan daya saing komuniti tempatan,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan komuniti yang mampan memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan teknologi.
Sebaliknya jelas beliau, masyarakat perlu dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap inovatif untuk terus relevan dalam dunia yang serba pantas berubah ini.
Menurutnya kejayaan program seperti Agropreneur Muda yang menggabungkan pertanian dengan teknologi moden membuktikan bahawa kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan oleh semua golongan, termasuk belia luar bandar.
“Ia bukan sahaja menjana pendapatan melalui perkhidmatan atau penyelesaian berasaskan teknologi, tetapi juga membantu mengurangkan kos sara hidup, sekali gus mengukuhkan kestabilan kewangan individu dalam komuniti.
“Pelbagai bidang teknologi kini memberi kesan terus kepada kehidupan masyarakat, termasuk automasi rumah, teknologi hijau, teknologi pertanian pintar, pencetakan 3D dan teknologi komunikasi pintar. Semua ini menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kecekapan dalam pelbagai aspek kehidupan harian,” katanya.
Selain bengkel praktikal, Ab Malik berkata Kelab RekaCipta Putrajaya turut bekerjasama dengan institusi pendidikan dan agensi kerajaan untuk memperluaskan capaian pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti berpendapatan rendah (B40).
“Masyarakat setempat menyambut baik inisiatif ini dan menganggapnya sebagai peluang berharga untuk menimba ilmu baharu yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian serta menjana pendapatan sampingan.
“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, Kelab Rekacipta Putrajaya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah komuniti berinovasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kami akan terus komited untuk membantu membina komuniti masyarakat yang mampan melalui teknologi, dengan membudayakan reka cipta dan inovasi dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU