Berita

Kekang kes buli di UPNM: Pemeriksaan fizikal pegawai kadet dilakukan berkala

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 November 2024 4:47 PM MYT

PEMERIKSAAN fizikal secara berkala dilakukan ke atas pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan.

Demikian ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai tindakan penambahbaikan serta mekanisme pencegahan yang telah dan sedang diambil bagi mengelak kejadian penderaan dan buli di universiti itu berulang.

Menurut beliau, bermula Februari tahun lalu, sebanyak tujuh kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa aras blok penginapan telah dipasang bagi mengesan aktiviti mencurigakan.

“Kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah ini mengikut keperluan dan kesesuaian,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha dan kaedah yang sedang dilakukan kementerian bagi memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan.

Mohamed Khaled berkata, langkah lain yang dilakukan adalah pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menambah perjawatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) yang ditugaskan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.

Pertambahan itu katanya, daripada 31 orang pegawai sebelum ini, ia telah ditambah kepada 48 orang pegawai dan daripada 124 orang LLP ditambah kepada 182 orang.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 24 orang pegawai dan 48 orang LLP telah dilantik sebagai jurulatih. Pelantikan jurulatih ini bagi meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang Pegawai Kadet dengan nisbah 1:20.

“Penambahan jumlah jurulatih ini juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran Pegawai Kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada 4 Batalion kepada 8 Kompeni, yang mana satu batalion dengan jumlah maksimum 320 Pegawai Kadet kepada satu kompeni dengan hanya 150 Pegawai Kadet bagi tujuan pemantauan yang lebih rapi.

“Selain itu, tempoh perkhidmatan pegawai dan LLP yang ditempatkan di ALK-UPNM juga dihadkan kepada antara tiga hingga empat tahun untuk menentukan prestasi sebagai jurulatih sentiasa di tahap tertinggi,” katanya.

Beliau menambah, bermula April 2024 telah dilakukan pengasingan Pegawai Kadet Tahun 1 di Bukit Putera dan diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memandangkan golongan ini biasanya menjadi sasaran.

“Larangan terhadap aktiviti penderaan sememangnya dikuatkuasakan dalam Perintah Tetap Pegawai Kadet sejak penubuhan ALK, yang sentiasa diulangi di dalam Perintah Harian Kompeni dan tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah.

“Sesi pertemuan di antara Pegawai Kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif diadakan untuk memberi ruang bebas tanpa perasaan takut atau sebagainya bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan Pegawai Kadet bagi mengatasi isu keengganan Pegawai Kadet melapor kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah-langkah lain, Mohamed Khaled berkata, mana-mana Pegawai Kadet yang bersubahat menyembunyikan kes juga akan dikenakan tindakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas