Atlet Wilayah

Kekalkan pingat gangsa di Paris 2024, Wooi Yik bakal dapat habuan

AARON-WOOI YIK berjaya mempertahankan pingat gangsa yang juga pingat pertama Malaysia di Olimpik Paris 2024.
- Diterbit 9 Ogos 2024 4:20 PM MYT

WILAYAH Persekutuan bakal mengiktiraf pencapaian jaguh beregu badminton lelaki negara, Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa dalam acara berpasangan lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini dengan menyerahkan insentif habuan wang tunai.

Tampil buat kali kedua pada Sukan Olimpik Paris 2024, gandingan Aaron Chia-Wooi Yik itu dilihat tidak gentar apabila berjaya menundukkan beregu Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup bagi membolehkan pasangan itu merangkul pingat gangsa yang juga pingat sulung negara pada temasya itu.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata bakat Wooi Yik dalam sukan badminton bermula sejak di bangku persekolahan lagi dan atlet Wilayah Persekutuan itu berjaya menempa nama di peringkat tempatan dan juga antarabangsa sehinggalah mencapai kejayaan mempertahankan pingat gangsa di temasya Olimpik Paris pada 4 Ogos lalu.

“Sudah pasti penyampaian insentif akan diadakan secara sederhana namun penuh bermakna untuk kita bersama-sama meraikan dan mengiktiraf usaha gigih Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia dalam acara berpasangan lelaki bagi menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bakat atlet yang kini berumur 26 tahun itu digilap sejak di bangku sekolah lagi di Wilayah Persekutuan sehinggalah seluruh dunia menyaksikan kejayaannya yang memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik baru-baru ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, Wooi Yik pernah mewakili Wilayah Persekutuan sebanyak tiga kali iaitu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis, SUKMA 2016 di Sarawak menyaksikan atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memenangi satu pingat gangsa acara beregu lelaki dan memenangi dua perak acara beregu lelaki dan campuran pada SUKMA 2018 di Ipoh.

Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada penampilan pertama mereka di pentas Olimpik Tokyo tiga tahun lalu selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyediakan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.

Selain wang tunai, atlet yang memenangi emas turut dianugerahkan pangsapuri mewah di Setia Alam bernilai RM1 juta yang disumbangkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove serta pemilik Top Residency, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Pengeluar kereta dari China, Chery Malaysia turut tampil dengan hadiah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas