Oleh ZULKIFLI SULONG
MALAYSIA dan dunia digemparkan oleh pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan wang tunai RM170 juta, 16 jongkong emas seberat satu kilogram tiap-tiap satu dan pelbagai jenis barangan kemas.
Kesemua barangan ini adalah rampasan hasil serbuan pihak berkuasa itu ke atas sebuah kondo yang dijadikan safe house atau tempat penyimpanan.
Kesemuanya dipaparkan dalam sidang media oleh SPRM pada 3 Mac lalu.
Sidang media mengenai pendedahan barangan rampasan ini dibuat selepas hampir seminggu media membuat berita spekulasi dan khabar angin tentang rampasan ini.
Ia mula terdedah dengan maklumat kononnya SPRM merampas RM150 juta wang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ekoran itu, ada yang membuat andaian ia dirampas dalam keadaan duit itu berada dalam 150 buah beg duffle yang mana setiap satu begnya mengandungi wang tunai RM1 juta.
Kemudian berita ini disahkan oleh SPRM dengan berkata lebih RM100 juta wang telah disita.
Serentak dengan itu juga, gambar Ismail Sabri terbaring di katil hospital disiarkan oleh media sosial.
Mengikut keterangan SPRM, Ismail Sabri telah diambil keterangan selama kira-kira lima jam pada 19 Februari lalu dan ia jatuh pengsan beberapa hari selepas itu. SPRM juga mengesahkan kini Ismail Sabri adalah suspek dalam kes ini bukan lagi saksi.
Bagi mencerita dan menunjukkan apa yang berlaku, SPRM secara rasmi mengadakan sidang media mereka pada 3 Mac lepas.
Ketika inilah cerita mengenainya didedahkan secara rasmi oleh SPRM sambil menunjukkan longgokan wang tunai, jongkong emas dan barangan kemas yang dirampas.
Turut terlihat adalah selonggok barang kemas yang masih lagi belum dinilai. SPRM menjangkakan nilai rampasan melebihi RM177 juta.
Untuk rekod, wang tunai yang dirampas meliputi wang tunai dalam dolar Singapura, baht, riyal, pound, won Korea, euro, Swiss Franc dan yuan China.
Agensi anti rasuah itu difahamkan telah menyerbu tiga premis termasuk sebuah ‘safe house’ sebelum menemui wang ratusan juta ringgit.
Wang ini dikatakan diletakkan dalam tiga peti besi.
Apabila ditanya para wartawan, apakah ini satu siasatan terpilih dan bermotifkan politik, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bertanya kembali, apakah ini siasatan terpilih dengan segala bukti yang berada di depan mata?
“Apakah anda fikir ini penyiasatan terpilih?” Soal Azam kepada wartawan di sidang media beliau bersama dengan segala bukti yang diperoleh SPRM.
Di depan beliau berlonggok wang tunai dari pelbagai jenis mata wang, jongkong emas 16kg dan barang kemas berjenama mahal.
Azam berkata SPRM bertegas dengan prinsip bahawa siasatan mereka adalah profesional dan tidak berdasarkan arahan dari pihak luar dan bukan bermotif politik.
Beliau berkata sejak awal 2024, SPRM telah menyiasat berkaitan dengan projek kempen media Keluarga Malaysia yang bernilai RM700 juta.
Sehingga kini, 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta telah dibekukan, kata Azam namun akaun Yayasan Keluarga Malaysia belum dibekukan.
SPRM juga telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
ANDAIAN
PELBAGAI andaian telah dibuat oleh pelbagai pihak bagaimana SPRM boleh menjejak simpanan wang tunai RM170 juta dan jongkong emas di sebuah kondo (safe house) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.
Ada yang kata, ia berlaku kerana ada pegawai yang berpaling tadah, ada juga yang berkata kerana kecekapan intipan SPRM dan ada juga yang berkata ia adalah hasil daripada kesilapan pasukan Datuk Seri Ismail Sabri sendiri.
Namun yang paling menarik adalah dakwaan ia berlaku akibat daripada kesilapan pasukan Ismail Sabri yang tidak sabar mahu menukar wang tunai itu ke dalam bentuk aset.
“Kes Ismail Sabri terdedah kerana pegawai beliau sudah tidak sabar nak jadikan cash RM170 juta sebagai aset dengan membeli rumah banglo RM20 juta cash,” dakwa seorang aktivis media sosial di TikTok.
Khabar angin tersebar kononnya seorang bekas pegawai kanan Ismail Sabri telah membeli sebuah banglo dengan harga RM20 juta secara tunai.
Apabila pembelian secara tunai dengan jumlah yang besar berlaku, ia akan menyebabkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tersedar mengenainya dan siasatan akan dibuat.
“Malangnya setiap pindah milik harta harus melalui LHDN untuk disemak cukai yang dikenakan bagi pemerolehan harta.
“LHDN semak dan perkara ini amat tak lojik untuk seorang pegawai yang berkhidmat 16 bulan mempunyai duit sebanyak itu,” kata beliau lagi.
Selain dari itu, menurut sumber, wang ini dikumpulkan untuk projek Tebuk Atap 2.
Tebuk Atap adalah istilah yang digunakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menolak dakwaan kerajaan PN sebelum ini dibentuk melalui pintu belakang.
Tebuk Atap 2 adalah projek untuk membolehkan Kerajaan MADANI dijatuhkan melalui undi tidak percaya di Parlimen.
“Mereka mensasarkan sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen Umno lagi untuk dibeli bagi membolehkan mereka ada cukup jumlah membuat undi tidak percaya di Parlimen.
“Untuk menggunakan pendekatan Tebuk Atap versi 1 ia sudah tidak boleh kerana pintu istana tidak akan dibuka untuk mereka lagi,” kata sumber UMNO berkenaan.
Kita tunggulah apakah cerita sebenarnya di sebalik pendedahan ini di samping kita mula mengkaji apakah benar cerita-cerita spekulasi ini.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.