Berita

Kejohanan Golf Malaysia Truly Asia Tourism 2023 tawar hadiah keseluruhan lebih RM500,000

MUSA Yusof (tengah) pamer trofi yang bakal diberikan kepada pemenang kejohanan tersebut.
- Diterbit 12 Oktober 2023 1:09 PM MYT

SERAMAI 200 peserta tempatan serta negara-negara ASEAN bakal membuat perhitungan bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 pada Kejohanan Golf Malaysia Truly Asia Tourism 2023.

Kejohanan yang diadakan buat julung kalinya akan berlangsung di Saujana Gold & Country Club, Shah Alam, Selangor pada 25 Oktober ini.

Pengerusi Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Kopema), Datuk Musa Yusof berkata, kejohanan golf itu diadakan bersempena ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia.

Malah tambah beliau, ia juga sebagai persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menjadikan pelancongan sukan sebagai antara produk tarikan.

“Kejohanan Golf Malaysia Truly Asia Tourism 2023, menjanjikan pengalaman yang unik menggabungkan elemen keseronokan golf dengan daya tarikan budaya dan landskap tempatan negara.

“Kejohanan itu akan diadakan dalam tiga sesi yang berbeza, para peserta akan dapat menerokai keindahan pemandangan, budaya yang pelbagai, dan layanan mesra rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang akhbar selepas selepas menyempurnakan Prapelancaran Kejohanan Golf Malaysia Truly Asia Tourism 2023 di IOI Resort City, pada Selasa.

Menurut beliau, kejohanan ini bukan sahaja tentang sebuah pertandingan, ia bagi mengukuhkan kerjasama dalam industri pelancongan dan mempamerkan keindahan negara di mata dunia.

Jelasnya, sebanyak 43 syarikat korporat dari dalam dan luar negara telah menjalinkan kerjasama serta sokongan pada kejohanan kali ini.

“Kami yakin bahawa kejohanan ini akan berjaya dan menjadi mercu tanda hospitaliti dan kecemerlangan Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas