Berita

“Kejayaan tidak datang bergolek” – Nad Zainal

|
- Diterbit 21 Februari 2021 11:04 PM MYT

REZEKI berharga buat pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Nad Zainal yang dinobatkan antara 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2020 bagi kategori seni dan kebudayaan anjuran Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bagi Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 31, anugerah tersebut adalah satu permulaan yang baik bagi tahun 2021.

“Ketika diberitahu akan menerima anugerah itu, sudah tentu saya terkejut sangat. Tak sangka saya antara insan seni yang menyinar dalam kategori seni dan kebudayaan pada tahun 2020.

“Saya percaya, ini juga rezeki buat kami sekeluarga termasuklah anak kedua yang bakal lahir awal April ini,” jelasnya yang sudi berkongsi tiga tip kejayaannya dalam industri.

Bagi Nad, bukan mudah baginya untuk terus kekal dalam industri memandangkan ramai pelakon hebat di Malaysia.

“Saya tahu ramai lagi yang hebat-hebat. Alhamdulillah, kali ini rezeki saya. Apa yang saya boleh cakap, tidak mudah until sampai ke tahap sekarang kerana kejayaan tidak datang bergolek. Kena usaha sungguh-sungguh dan jangan lupa berdoa.

“Antara perkara yang saya amalkan adalah buat sehabis baik dalam bidang lakonan. Jangan buat separuh jalan selepas itu putus asa.

“Untuk buat yang terbaik sudah tentu perlukan masa dan sentiasa tingkatkan mutu lakonan tanpa jemu. Kejayaan tidak datang dengan bergolek, kena usaha.

“Begitu juga dengan bidang lain. Lakukan apa yang anda minat seikhlas hati. Dipuji atau tidak, itu tidak penting. Buat sahaja sampai anda berjaya,” katanya lagi.

Nad juga mengaku selain bakat, penampilan dan sikap juga memainkan peranan penting.

“Kita kena sentiasa nampak menarik, kemas dan disenangi. Suka atau tidak, penampilan sangat penting kerana kita juga dinilai secara luaran. Itulah public figure.

“Selain itu, jadilah seorang yang sangat menjaga sensitiviti masyarakat terutamanya dengan peminat. Ini kerana, tanpa sokongan mereka, siapalah Kita,” ujarnya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas