KONSEP kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibenarkan oleh syarak dan diperbolehkan menerima upah atau bayaran.
Terdapat penjelasan tentang konsep kerja dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (SAW) antaranya:
“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri.” – Riwayat Al-Bukhari
Ibadah bukan sekadar mendirikan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya malah bekerja juga adalah ibadah. Sekiranya hanya solat dianggap ibadah, ia tidak lebih setengah jam sahaja daripada 24 jam sehari. Sedangkan waktu yang paling banyak dihabiskan seharian adalah dalam melakukan pekerjaan.
Sikap pekerja yang culas, tidak amanah, lewat masuk ke tempat kerja sering kali menjadi budaya kerja dalam sesetengah masyarakat.
Perangai yang negatif itu sukar untuk dibuang kerana telah sebati dalam diri seseorang itu tetapi sebenarnya keimanan kepada Allah SWT boleh mengubah sikap buruk berkenaan.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata budaya kerja Islam sangat menekankan profesionalisme dalam erti keahlian dan kelayakan dalam sesuatu bidang.
“Seorang pekerja Muslim haruslah menguruskan tugasnya secara profesional serta jujur dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Tugas yang dijalankan secara tidak profesional akan kehilangan amanah yang boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini terjadi.
“Sesuatu pekerjaan pasti hancur sekiranya suatu tugas (walaupun kerja peribadi) dilaksanakan dengan sikap sambil lewa.
“Upah, gaji atau elaun yang diterima atau diambil bagi tugasan yang terbengkalai, tidak sempurna atau tidak menepati kehendak majikan atau tanpa melakukan sebarang tugasan kerana culas, ponteng kerja dan seumpamanya tanpa kerelaan majikan adalah bergulir di antara makruh-syubhah haram kerana tidak diperolehi dengan cara yang syarie (iaitu hasil persetujuan dengan majikan),” katanya kepada Wilayahku.
Tambah beliau, etika kerja yang melanggar syariat Islam seperti menipu, zalim dan menindas, tidak akan mendapat reda Allah.
“Keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama.
“Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahgunakan pangkat atau kuasa dalam mentadbir nescaya akan mendapat keredaan Allah SWT, mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja serta membawa kemakmuran kepada organisasi,” ujarnya.
Jelas Mohd Hapiz, integriti merupakan elemen yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu (pekerja) yang berada di bawah sesuatu organisasi. Penghayatan terhadap elemen ini amat penting kerana ia mampu memberikan kesejahteraan kepada kakitangan sesuatu organisasi.
Menurut beliau, agama Islam juga menekankan soal integriti dalam kehidupan manusia. Nilai-nilai integriti terbentuk melalui nilai-nilai amanah, jujur dan kebolehpercayaan dalam memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
“Di dalam Islam, konsep integriti ini boleh diungkapkan juga dengan sifat amanah dan itqan (bersungguh-sungguh). Di dalam Al-Quran, Allah SWT menyifatkan antara sifat-sifat orang yang beriman ialah mereka menjalankan amanah dan menjaga janji mereka.
“Jika para pekerja mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam diri mereka, pasti mereka akan melaksanakan kerja yang diberikan kepada mereka dengan sebaik mungkin. Mereka juga tidak membuang masa dan mencuri tulang dalam waktu bekerja bahkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja yang dilakukan dan bersungguh-sungguh menyempurnakannya.
“Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti khianat, tidak amanah, memberi atau menerima rasuah, suka membuang masa, mencuri tulang dan seumpamanya pula akan memberi kesan dan menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi,” katanya. – WILAYAHKU