KETAMADUNAN sesebuah bandar bukan hanya diukur berdasarkan kepada bangunan pencakar langit atau infrastruktur yang megah.
Sebaliknya ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, nilai sebenar sebuah kota bertamadun terletak pada masyarakatnya.
“Ketamadunan sesebuah bandar itu terletak pada keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya dan bagaimana ia menjamin keadilan sosial untuk semua warganya.
“Prinsip hormat dalam aspirasi Madani perlu kita hayati dalam membentuk nilai minda rakyat.
“Wilayah Persekutuan ini bukan sekadar pusat pentadbiran dan ekonomi, tetapi wajah yang mencerminkan budaya Malaysia secara keseluruhannya.
“Justeru hendaklah kita bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian agar Malaysia terus kekal menjadi negara yang aman dan makmur,” katanya dalam ucapan pada program Wilayah Persekutuan Harmoni, malam tadi.
Program berkenaan adalah anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Wilayah tahun ini.
Sambutan cukup meriah itu diserikan dengan pertunjukan kereta berhias dari pelbagai etnik di Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Thai, Baba Nyonya, Chetti dan juga Orang Asli.-WILAYAHKU