KETIADAAN perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.
Menurut Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), tiada kontrak digubal antara KKM dan PLSB mengenai perolehan ventilator dan Penasihat Undang-undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.
Laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu mendedahkan sehingga kini ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu itu mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan.
Selain itu, PAC mendapati terdapat percanggahan keterangan antara KKM dan PLSB berkaitan kewujudan waranti kesemua 136 unit ventilator.
“PLSB tidak menandatangani sebarang kontrak dengan pembekal serta memaklumkan kepada PAC bahawa semua dokumen pesanan pembelian dan dokumen sebut harga menunjukkan bahawa waranti ventilator adalah antara Kerajaan Malaysia dan pembekal. – BERNAMA