Berita

Kedaulatan Pulau Pisang tidak boleh disanggah, hak milik Malaysia

- Diterbit 10 Disember 2024 11:13 AM MYT

PENYERAHAN Rumah Api Pulau Pisang kepada Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) adalah bagi maksud pengurusan dan kawal selia sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia tidak melibatkan hak milik kedaulatan pulau berkenaan.

Malah katanya, kedaulatan Pulau Pisang tidak boleh disanggah (undisputed) dan adalah hak milik Malaysia.

“Pentadbiran dan pengoperasian Pulau Pisang diserahkan kepada pihak Singapura berdsarkan indenture yang telah ditandatangani pada 6 Oktober 1900 antara Sultan Ibrahim iaitu Sultan Johor ketika itu dengan James Alexander Swettenham, Gabenor Negeri-Negeri Selat yang mewakili Kerajaan British.

“Melalui indenture berkenaan, Kerajaan Johor telah menyerahkan sebahagian kecil tanah di Pulau Pisang bermula dari pantai hingga ke rumah api kepada Inggeris.

“Singapura selaku pewaris Negeri Selat telah mentadbir sebahagian kecil tanah dari pantai ke rumah api tersebut yang berjumlah 2.25 ekar atau hanya 0.5 peratus dari keseluruhan keluasan Pulau Pisang berjumlah 446 ekar (178.4 hektar),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai status Rumah Api Pulau Pisang yang kini diuruskan Singapura.

Dr Zaliha berkata, penyerahan berkenaan hanya untuk pengurusan dan kawal selia rumah api sahaja oleh MPA melalui dua orang pekerja yang bertugas secara bergilir-gilir.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah kawalan terhadap Pulau Pisang bagi memastikan aktiviti masuk dan keluar dipantau dengan ketat selaras dengan kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu.

Menurut beliau, kakitangan kerajaan dan rakyat Singapura yang mengendali dan menyelenggara rumah api tersebut perlu mematuhi peraturan dan syarat kemasukan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia.

“Ini termasuk mendaftar dengan Jabatan Imigresen di Kukup, Johor setiap kali pertukaran syif dan direkodkan.

“Proses yang sama juga digunakan setiap kali mereka meninggalkan rumah api di Pulau Pisang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas