Biz

Kedai buah-buahan MBG diwarisi generasi ketiga

ADNAN (kanan) menerima anugerah emas pada IDEA 2025 baru-baru ini. 
- Diterbit 4 Julai 2025 7:26 PM MYT

MBG Fruit Shop merupakan satu nama yang sinonim dengan buah-buahan segar berkualiti tinggi di Malaysia. Bermula dari perniagaan kecil, kini MBG berkembang menjadi antara jenama buah-buahan segar paling dipercayai dan mudah didapati di pusat beli-belah utama seluruh negara.

Diasaskan lebih 30 tahun lalu, perniagaan ini bermula secara kecil-kecilan di pasar-pasar borong dan gerai buah di tepi jalan namun kini ia menjadi inspirasi kepada ramai usahawan muda yang ingin menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) atau peruncitan.

Berkongsi kisah kejayaan MBG Fruit Shop, Pengarah Urusannya, Adnan Lee, 50, berkata usahawan perlu mengikut rentak revolusi dalam perniagaan kerana jika sebaliknya, mereka akan jauh ketinggalan dalam peredaran masa.

“Perniagaan MBG ini bermula dari zaman datuk saya sebelum negara merdeka lagi, diturunkan kepada ayah dan kini saya merupakan generasi ketiga yang mengusahakannya.

“Modal perniagaan saya dan mereka adalah berbeza. Jika dahulu tiada shopping mall, cuma ada pasar pagi dan pasar malam tetapi sekarang kita dapat lihat orang ramai ke mall, membeli dalam talian, live di media sosial dan sebagainya, jadi kita mesti ikut peralihan itu.

MBG Fruits Sdn Bhd fokus untuk membuka outlet dengan keluasan lebih besar.

“Kalau saya masih berniaga seperti datuk dan ayah di pasar pagi atau pasar malam, macam mana boleh masuk ke dalam mall, jadi saya boleh kata di sini kena berani, kita cuba buat terbaik apa yang kita ingin lakukan,” jelas beliau sejurus selepas menerima anugerah emas pada Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 baru-baru ini.

Anugerah berprestij yang diiktiraf Dewan Perniagaan Muslim Insiders ini dianjurkan oleh KNKV Group dengan kerjasama CTOS Data Systems, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) dan Yayasan Mihrab menghimpunkan 51 penerima anugerah dalam pelbagai kategori.

Memiliki 40 outlet di pusat beli-belah ternama seperti KLCC, Mid Valley dan Pavilion, apa yang menarik, walaupun beroperasi di lokasi premium, harga buah-buahan di MBG Fruit Shop kekal kompetitif dan mesra pengguna.

“Alhamdulillah bersyukur pada Allah, sudah 30 tahun menjual buah-buahan di shopping mall dan semakin berkembang dengan pembukaan outlet terbaru di Central i-City seluas 2,900 kaki persegi. Insya-Allah lebih banyak lagi outlet akan dibuka dalam tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata MBG Fruits Sdn Bhd memberi fokus untuk membuka outlet dengan keluasan yang lebih besar dari 3,000 hingga ke 10,000 kaki persegi berbanding sebelum ini.

“Ia satu pelaburan berisiko namun sebenarnya ke arah yang lebih dinamik. Kita dapat lihat, pembukaan outlet yang lebih luas menjadikan jumlah pengunjung meningkat tiga kali ganda berbanding sebelum ini. Pelanggan bukan sahaja datang untuk membeli buah, tetapi inginkan kawasan lebih santai untuk duduk seketika dan semestinya lebih selesa,”
jelasnya.

Tambahnya selain Malaysia dan negara jiran, setakat ini MBG Fruits Sdn Bhd mengimport buah-buahan dari 40 buah negara seluruh dunia antaranya dari Mesir.

“Ramai orang ingat Mesir padang pasir dan tak banyak buah sebenarnya 26 peratus buah import datang dari negara tersebut antaranya buah oren, strawberi, anggur, delima dan juga kurma,” katanya.

Berbicara lanjut, figura yang sentiasa merendah diri ini tidak pernah lokek berkongsi pegangannya dalam bidang perniagaan sehingga menjadi seorang usahawan Islam berjaya dan disegani.

“Satu perkara yang selalu saya ingatkan diri saya sendiri adalah apabila kita tutup pintu riba, Allah SWT buka pintu rahmat,” kongsinya yang tidak pernah mengambil sebarang bentuk pinjaman dalam perniagaan. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas