JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan berlaku mendapan jalan raya di beberapa kawasan berhampiran Wisma Chuang dekat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Menurut JBPM, ia berlaku susulan kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pagi tadi.
“Pemanggil memaklumkan berlaku paip pecah bawah tanah. Kita seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
JBPM memaklumkan, terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik pihak pengurusan air tersebut.
“Seterusnya terdapat limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut.
“Kerja-kerja pembaikan paip yang bocor diserahkan kepada pihak terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya. – WILAYAHKU