Fitnah vs Fakta

Kebanjiran warga China bukan untuk diberi kerakyatan

VIDEO tular warga China bersesak yang didakwa berlaku di lapangan terbang adalah tidak benar. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Disember 2023 8:40 AM MYT

KECOH dalam media sosial satu rakaman video berdurasi 17 saat menunjukkan orang ramai berbangsa Cina sedang bersesak di sebuah lapangan terbang di negara ini.

Ekoran video tersebut, tanpa usul periksa ramai yang mendakwa pihak kerajaan sengaja membawa masuk rakyat dari negara China secara beramai-ramai untuk dijadikan warganegara Malaysia.

Menepis dakwaan tersebut, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya mengesan rakaman tersebut adalah video lama yang berlaku pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, Johor.

“Ia bukan kebanjiran pelancong warga China sebaliknya lokasi di dalam video tersebut adalah semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan.

“Video itu dirakam semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Justeru, kita ingin menafikan bahawa rakaman terbabit dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Menurutnya, mengikut rekod, pergerakan keluar dan masuk di BSI secara purata adalah 250,000 orang pada hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas