Berita

Kebakaran: Wanita ditemukan rentung separuh badan

KEADAAN sebuah rumah yang terbakar di Kampung Bohor, Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, hari ini. Kredit foto: Utusan Malaysia
- Diterbit 7 Julai 2021 9:39 AM MYT

SEORANG wanita ditemukan rentung selepas rumah yang didiami bersama ahli keluarganya di Kampung Bohor, Hutan Kampung dekat sini terbakar, pagi tadi.

Azmiza Azmi, 51, yang merupakan bekas pesakit barah otak dijumpai di dalam bilik mandi oleh anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.32 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati api sudah marak hingga 70 peratus dan anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk memadamkan kebakaran. Maklumat awal yang diterima, terdapat seorang mangsa di dalam rumah.

“Proses pencarian telah menemukan mangsa dalam keadaan rentung di dalam bilik mandi. Mangsa gagal menyelamatkan diri kerana berada dalam keadaan uzur selain berseorangan ketika kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sayani berkata kebakaran itu telah menyebabkan rumah satu tingkat berkenaan terbakar 80 peratus selain sebuah kereta dan dua motosikal yang berada di rumah itu terbakar antara 80 hingga 100 peratus.

“Jumlah kerugian masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.

Sementara itu bapa mangsa, Azmi Zain, 71, berkata sebelum kejadian dia keluar berjumpa rakannya untuk mengajak menemaninya ke Pusat Pemberian Vaksin Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti untuk menerima suntikan vaksin pada 2.30 petang.

“Saya tinggal bersama Azmiza dan seorang lagi anak lelaki, Fazrul Hisham, 31, dan sebelum keluar anak sulung saya ini (Azmiza) sedang tidur, Fazrul Hisham juga keluar. Jadi, hanya Azmiza di rumah semasa kejadian.

“Masa dalam perjalanan pulang ke rumah, memang ada nampak kepulan asap tetapi tidak tahu dari mana datangnya. Sebaik sampai, saya terkejut apabila melihat rumah sendiri yang terbakar,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas