KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah mengerahkan seramai 1,672 orang pegawai dan anggota polis bagi bantuan operasi banjir di seluruh negara.
KDN dalam kenyataan berkata bantuan operasi banjir ini turut melibatkan melibatkan 230 aset kenderaan dan peralatan kecemasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia termasuk 68 buah bot, 152 buah kenderaan pacuan empat roda, 51 buah lori, 15 buah kereta peronda, 13 buah van dan sebuah helikopter manakala sebanyak 818 orang anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) telah ditugasi untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat serta di 706 pusat pemindahan sementara (PPS) selain membantu PDRM dalam pasukan rondaan komuniti di kawasan terlibat banjir,” katanya.
Tambahnya tugas dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh PDRM dan RELA yang berperanan antaranya termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di PPS dan pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi pencarian dan penyelamatan serta penugasan pasca bencana banjir.
“Skuad Ihsan MADANI KDN juga telah bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir yang akan membantu mangsa-mangsa banjir.
“Selain PDRM dan RELA, agensi KDN yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan terlibat sama bagi menyalurkan bantuan dan mengaturkan gerak kerja pembersihan pasca banjir melalui Skuad Ihsan Madani di daerah-daerah seluruh negara yang terkesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, KDN juga ingin memberikan jaminan bahawa keselamatan harta benda mangsa-mangsa banjir sentiasa dipantau.
“Bagi mangsa banjir yang terkesan dengan kemusnahan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan pasport, JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen-dokumen tersebut secara percuma kepada semua mangsa banjir.
“Perkhidmatan penggantian dokumen penting oleh JPN akan turut disediakan melalui bas bergerak (mobile bus) di kawasan-kawasan yang terkesan.
“KDN juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan penyelamatan mangsa-mangsa banjir.
“Sentiasa merujuk maklumat dan perkembangan cuaca terkini yang dapat diperoleh menerusi media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA), aplikasi myCuaca dan talian penting (Hotline) MET Malaysia menerusi talian 1-300-22-1638 di samping menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM menerusi talian 03-22663333 / 03-22663444 / 03-22663451 atau hubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan,” katanya. – WILAYAHKU