KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggesa semua persatuan sukan memastikan atlet bernaung di bawahnya mendapatkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, perlindungan sosial khususnya menerusi PERKESO amat penting bagi memastikan golongan atlet dilindungi dari semua aspek.
“Beberapa insiden menimpa atlet misalnya pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim perlu dijadikan peringatan supaya golongan atlet mendapat perlindungan sosial.
“Golongan atlet tidak kira atlet apa perlu menitikberatkan perlindungan sosial tidak kira mereka dalam bidang sukan berisiko tinggi atau lain-lain,” ujar beliau.
Sementara itu, mengenai insiden yang menimpa atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya, Adam Adli berkata KBS akan membantu atlet berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika ini, kita sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian itu dan keadaan atlet,” ujar beliau.
Siti Nurul Masyitah dipercayai dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk dalam kemalangan pada Sabtu lepas di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru. – WILAYAHKU