Fokus

Kayuhan bersejarah sepanjang ROL

||LALUAN baharu dari PWTC ke Leboh Pasar Besar membolehkan orang ramai melihat keindahan Sungai Klang.
- Diterbit 17 September 2020 7:43 AM MYT

KEINDAHAN tapak jajaran River of Life (RoL) sehingga ke Kolam Biru tidak perlu dipertikaikan lagi kerana lokasi ikonik baharu Kuala Lumpur itu tersenarai sebagai tempat terbaik dunia.

Malah, projek River of Life (ROL) di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya menghidupkan kembali kawasan sungai.

Ini kerana, pelaksanaan Komponen Pembersihan Sungai di bawah JPS serta Komponen Pengindahan Sungai yang dilakukan DBKL menggabungkan tiga tiang asas kelestarian iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Terkini, projek RoL mempunyai jajaran baharu khusus untuk pejalan kaki dan penunggang basikal yang bermula dari PWTC hingga Leboh Pasar Besar.

Menariknya, laluan sepanjang tiga kilometer (km) itu membolehkan pengunjung beriadah sambil mempelajari tempat bersejarah dan menikmati keindahan sepanjang Sungai Klang.

Difahamkan, laluan yang siap pada Julai 2020 itu juga merupakan sebahagian daripada 10.7 km laluan basikal daripada Gombak ke kompleks beli belah Mid Valley, Bangsar.

Bayangkan hanya dalam tempoh 2 jam sahaja, orang ramai dapat mengunjungi enam lokasi menarik yang disediakan
sepanjang laluan berkenaan.

Menerusi aktiviti berbasikal yang dianjurkan River of Life Public Outreach Programme Fasa 5 (ROLPOP5) barubaru ini, penulis berpeluang menyusuri kesemua lokasi berkenaan dan mempelajari sejarah yang terdapat di sekitarnya.

Pengembaraan bermula dengan kayuhan sepanjang 750 meter di laluan basikal berwarna biru menuju ke persimpangan kiri sebelum Hotel Summit.

Persimpangan ini membawa penulis ke jalan kecil yang menuju ke arah kanan sehinggalah ke bangunan bersejarah yang kini menjadi sebuah sekolah bergelar Sekolah Rendah Tamil Appar.

Di sini, penulis dimaklumkan bahawa bangunan tersebut merupakan antara sekolah terawal yang ditubuhkan di Kuala Lumpur semasa pemerintahan British.

Bergerak ke hadapan, sebuah laluan khas dibina bagi membolehkan orang ramai menikmati pemandangan Sungai Gombak sepanjang lebih kurang satu kilometer.

Di sepanjang jajaran itu, kemudahan untuk aktiviti rekreasi dan riadah turut disediakan di sepanjang koridor sungai.

Laluan tersebut juga bersambung sehingga ke Taman Tiong Nam iaitu salah satu penempatan terawal di ibu negara.

Menelusuri 600 meter ke hadapan, orang ramai dapat melihat pertembungan antara Sungai Gombak dan Sungai Batu serta sebuah jambatan moden yang menghubungkan Galeri Tun Razak.

Laluan basikal ini tamat di Jalan Sultan Azlan Shah yang mana penulis perlu membuat pusingan untuk ke lokasi tarikan seterusnya, iaitu Jam Detik di Dataran Merdeka yang merupakan mercu tanda baharu ibu negara.

Lebih kurang 280 meter dari lokasi berkenaan, kelihatan Masjid Jamek yang tersergam indah menghadap Sungai Klang.

Di persekitaran luar masjid tersebut adalah Plaza Batik, sebuah ruang terbuka berkonsepkan Timur Tengah yang mana di bahagian bawahnya adalah sistem ‘interceptor’ yang dibina di bawah komponen pembersihan projek RoL.

Tidak jauh dari situ, penulis dapat melihat pertembungan Sungai Klang dan Sungai Gombak serta Anjung Tinjau yang memaparkan sejarah tercetusnya nama Kuala Lumpur.

LALUAN baharu dari PWTC ke Leboh Pasar Besar membolehkan orang ramai melihat keindahan Sungai Klang.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas