Berita

Kayuhan bantu bekas atlet

ACARA kayuhan mendapat sambutan luar biasa.
- Diterbit 28 Oktober 2024 6:37 PM MYT

SERAMAI 500 peserta mengambil bahagian dalam Kayuhan Mesra Amal 50 Tahun Wilayah Persekutuan yang  diadakan baru-baru ini bertempat di Kuala Lumpur.

Pengarah Penganjuran, Nor Effandy Rosli berkata acara tersebut bagi memeriahkan sambutan 50 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan.

“Ia juga bagi memperingati jasa bekas-bekas atlet berbasikal kebangsaan terpilih yang pernah mengharumkan nama negara namun kini memerlukan bantuan dengan menghulurkan sumbangan ikhlas.

“Aktiviti sukan dan riadah berbasikal semakin popular dan semakin mendapat tempat dari tahun ke tahun dalam kalangan penduduk di Bandar Kuala Lumpur, tidak kira tua atau muda dan melibatkan pelbagai bangsa serta pelbagai jenis basikal. Justeru itu, kita menganjurkan program berbasikal yang berkonsepkan Fun Ride Amal ini,” katanya yang juga merupakan bekas atlet berbasikal negara.

Dalam pada itu, Urus Setia Kayuhan Amal Mesra 50 Tahun Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya berkata acara tersebut adalah simbolik keharmonian dan perpaduan menerusi aktiviti riadah berbasikal berkonsepkan muhibah, penyatuan serta kekeluargaan dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta di Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan 50 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kayuhan Mesra Amal 50 Tahun Wilayah Persekutuan ini bermula dan tamat di Menara 1 DBKL dan telah disertai oleh lebih 500 peserta bersama-sama dengan bekas-bekas atlet berbasikal kebangsaan dengan jarak kayuhan 15 kilometer melibatkan laluan-laluan ikonik Kuala Lumpur seperti Parlimen, Tugu Negara, Taman Tasik Perdana dan Masjid Negara.

“Di samping itu, di lokasi rasmi pelepasan dan tamat kayuhan juga dimeriahkan dengan penglibatan tapak-tapak pameran dan jualan yang merangkumi kemudahan pemeriksaan kesihatan daripada klinik atau hospital, penjualan aksesori basikal, khidmat pembaikan basikal dan klinik basikal selamat.

“Kita juga mengadakan sesi cabutan bertuah selepas tamat acara berbasikal,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut berterima kasih dan menghargai komitmen daripada Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) sebagai penganjur utama.

“Terima kasih juga kepada TRX City Sdn Bhd dan Malakoff Corporation sebagai rakan strategik yang turut menjayakan penganjuran ini,” ujarnya.

Terdahulu, Program Kayuhan Amal Mesra 50 Tahun Wilayah Persekutuan dianjurkan oleh Kelab  Berbasikal Bandaraya Kuala Lumpur dengan sokongan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas