Berita

Kawalan subsidi ayam ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November

Sidang media Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada pagi tadi. Kredit foto: Facebook Mohamad Sabu
- Diterbit 30 Oktober 2023 3:33 AM MYT

KERAJAAN telah memutuskan agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam ditamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November, Rabu ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaubagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

“Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini hari ini.

Jelas beliau penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling.

“Dalam hal ini, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terusberada pada kadar yang munasabah.

“Kerajaan juga meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semas,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober lalu telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna.

Justeru itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggung jawab di peringkat runcit.

“Kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.

“Selain itu, Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui pelbagai bantuan insentif.

“Bantuan tersebut adalah dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil & sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan daripada segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborongpemborong di pasaran,” katanya.

Menurut Mohamad, sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam dan melalui kaedah penamatan subsidi ini, kerajaan akan turut dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas