PROGRAM pengagihan bubur lambuk kepada banyak rumah kebajikan dalam satu hari telah melayakkan jenama santan terkemuka, Kara melakar sejarah baharu dalam Malaysia Book of Records
Ketua Pemasaran Kara, Jessi Choong berkata, sebanyak 10 periuk bubur lambuk dengan lebih 3,000 bekas diagihkan sebagai juadah berbuka puasa kepada 25 Rumah Kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jessi berkata, beliau berbangga apabila satu rekod baharu berjaya dicipta dengan kerjasama UtusanTV, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Petron Malaysia.
“Bubur lambuk adalah tradisi Ramadan yang dihargai, dan menggunakan krim kelapa Kara dalam penyediaannya memastikan rasa yang kaya dan asli yang digemari Malaysia.
“Pencapaian ini lebih daripada rekod. Ia adalah perayaan warisan masakan kami dan masyarakat yang menghidupkan tradisi ini,” katanya ketika ditemui media dalam program tersebut yang berlangsung di IPD Dang Wangi.
Majlis turut dihadiri Pengurus Besar Pemasaran Kara Malaysia, Susanto; Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi; Supt. Nuzulan Mohd Din dan Ketua Perniagaan Komersial Petron, Mohd Asri Ibrahim.
Sementara itu, sebagai media rasmi, Zulkefli menganggap kerjasama strategik antara Kara sebagai usaha memperkukuhkan lagi komitmen dalam menyebarkan kebaikan dan keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berkongsi rezeki, menggalakkan aktiviti kebajikan serta mempromosikan budaya murni dalam masyarakat Malaysia.
“Selain itu, program ini memberi peluang kepada kami untuk terus menyampaikan berita dan informasi yang bermanfaat kepada orang ramai.
“Kita juga membuat liputan secara langsung di platform media sosial agar perkara baik ini dapat ditonton dan dijadikan wadah penyampaian mesej positif kepada masyarakat,” katanya.
Di sebelah petang, suasana dipenuhi dengan kemesraan, kegembiraan dan kebersamaan apabila Kara menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh di Restoran Rebung, Kuala Lumpur.
Merangkul semangat memberi dan bermurah hati pada bulan istimewa ini, kanak-kanak dijamu dengan hidangan berbuka puasa yang lazat, termasuk hidangan yang dibuat dengan santan krim kelapa Kara.
Sebagai penghargaan ikhlas kepada pengguna setianya kerana menyokong jenama itu sejak 25 tahun yang lalu, Kara menganjurkan peraduan kebangsaan Legasi Kara Sempurnakan Raya dari 19 Feb hingga 15 Mei 2025.
Dengan pembelian minimum RM20 bagi mana-mana produk Kara, peserta boleh menyertai untuk memenangi hadiah hebat bernilai sehingga RM30,000. – WILAYAHKU