Berita

Kapal ceroboh perairan negara, Malaysia hantar nota bantahan

- Diterbit 13 Ogos 2020 6:17 AM MYT

MALAYSIA konsisten mengemukakan nota-nota bantahan kepada negara yang kapal-kapal mereka didapati menceroboh perairan negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata langkah konstruktif menggunakan forum dan saluran diplomatik yang bersesuaian ini adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia mempertahankan hak tuntutan perairan negara.

“Malah dalam beberapa bulan ini, saya telah menyuarakan (kepada) para pemimpin negara yang mempunyai kaitan dengan isu Laut China Selatan bahawa semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha mengelak insiden sama ada disengajakan atau tidak di perairan berkenaan.

“Sebarang konflik yang berlaku hanya akan meningkatkan ketegangan sekali gus menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan. Oleh sebab itu, sebarang perbezaan dan pertikaian perlu diselesaikan menerusi dialog, rundingan atau lebih tepat, jalan diplomasi,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai usaha kerajaan untuk mengusir keluar kapal Coast Guard China yang berlabuh dalam perairan Malaysia di Beting Patinggi Ali.

Hishammuddin berkata sejak Mac, kementerian itu telah menggunakan jalan rundingan dan perbincangan diplomatik dalam mengendalikan isu kapal Petronas ‘West Capella’ di Arapaima-1 dan Lala-1, hasilnya kapal-kapal Republik Rakyat China telah beredar dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata negara-negara ASEAN termasuk Malaysia dan China sedang merundingkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) meskipun momentum rundingan COC ini telah tergendala buat masa ini akibat COVID-19.

Katanya, COC dilihat sebagai satu usaha memastikan pihak-pihak di Laut China Selatan mengelakkan konflik antara satu sama lain dan dalam melaksanakan rundingan itu, Malaysia akan memastikan COC yang akan dimuktamadkan berkesan dalam memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan negara kekal terpelihara.

Sementara itu, Hishammuddin berkata selain pengawasan di Beting Patinggi Ali, kerajaan juga melaksanakan Op Naga melalui agensi penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pemantauan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Laut China Selatan.

Menerusi statistik APMM, agensi itu telah menjalankan 5,538 pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kapal menerusi Op Naga bermula 2019 sehingga kini dan daripada jumlah pemeriksaan, sebanyak 121 bot nelayan asing ditahan melibatkan pelanggaran pelbagai jenis akta yang berkaitan.

“Perlu diingat, isu Laut China Selatan ini rumit dan melibatkan banyak pihak yang lain termasuklah tuntutan bertindih dengan negara-negara lain di ASEAN seperti Brunei, Filipina dan Vietnam.

“Atas dasar itu, kerajaan Malaysia akan terus konsisten dalam mempertahankan hak tuntutannya namun, harus tetap mengambil sikap berhati-hati bagi mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan atau boleh memburukkan sesuatu situasi di lautan,” katanya.

Hishamuddin turut memaklumkan Malaysia secara keseluruhannya menolak protes Republik Rakyat China menerusi ‘Note Verbale’ ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa mereka berhak ke atas kawasan perairan Laut China Selatan berdasarkan kepada sejarah.

“Malaysia dengan jelas menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak di bawah Article 76 (7) of Law of The Sea 1982 (UNCLOS 1982) ke atas kawasan perairan di mana pelantar benua yang berlanjutan lebih dari 200 batu nautika dari garis sempadan wilayah perairan Malaysia di utara Laut China Selatan.

“Kerajaan Malaysia juga menganggap bahawa tuntutan Republik Rakyat China terhadap entiti-entiti maritim di Laut China Selatan tidak mempunyai sebarang asas di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, melalui Perutusan Tetap Malaysia ke PBB dua minggu lepas telah menyuarakan pendirian itu kepada Setiausaha Agung PBB, merujuk kepada protes atau Note Verbale yang dihantar Perutusan Tetap Republik Rakyat China ke PBB bertarikh 12 Dis 2019. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas