Berita

Kandungan berunsur judi online paling banyak diturunkan platform media sosial

- Diterbit 14 Februari 2025 11:00 AM MYT

KANDUNGAN berunsur judi dalam talian (online) merupakan yang paling banyak diturunkan oleh pengendali platform media sosial iaitu 189,484 (65.5 peratus), untuk tempoh sepanjang tahun lalu.

Kementerian Komunikasi memberitahu, ini selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon pengendali platform berkenaan bertindak sedemikian selepas dikenal pasti melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Katanya, ia melibatkan kesalahan kandungan palsu, jelik, lucah, mengancam dan sumbang serta lain-lain kesalahan di bawah undang-undang negara.

“Sepanjang 2024, berdasarkan aduan orang ramai dan agensi-agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan lain-lain, MCMC telah memohon pelbagai platform untuk menurunkan 309,322 kandungan.

“Daripada jumlah itu, penyedia platform media sosial telah mengambil tindakan penurunan kandungan terhadap 289,287 kandungan yang dikenal pasti telah melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta 588,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai perincian justifikasi kandungan yang diturunkan dalam platform media sosial sepanjang tahun lalu.

Katanya, selain judi online, kandungan lain yang diturunkan adalah penipuan sebanyak 63,652 (22 peratus) diikuti kandungan palsu pula adalah 17,245 (5.9 peratus) dan kandungan jelik adalah 13,805 (4.7 peratus).

Jelas Kementerian Komunikasi, setiap penurunan kandungan yang dilakukan adalah selaras dengan lunas perundangan sedia ada bagi memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan.

“Tindakan yang diambil adalah untuk mencegah penyebaran sebarang kandungan yang mempunyai unsur jenayah dan kandungan yang mendatangkan kemudaratan dalam talian, seperti kandungan yang boleh merosakkan moral masyarakat serta mengancam keselamatan negara.

“Dengan ini, keseimbangan antara hak individu dan kepentingan awam dapat dijaga demi kesejahteraan bersama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas