DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum mengenal pasti atau menjalankan kajian untuk mencalonkan mana-mana kampung tradisi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan UNESCO.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menjelaskan bahawa Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) telah mengklasifikasikan 37 kampung di Kuala Lumpur kepada tiga kategori utama: Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan dan Kampung Biasa.
Menurutnya, Kampung Tradisi merujuk kepada kawasan yang masih mengekalkan identiti perkampungan Melayu dan berpotensi diurus sebagai perkampungan dalam bandar. Perancangan bagi kawasan ini disokong dengan garis panduan reka bentuk, ketinggian bangunan dan persekitaran untuk mengekalkan warisan budaya.
“Kampung Potensi Pembangunan telah ditetapkan sebagai zon pembangunan dengan kawalan tertentu bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemilikan aset oleh penduduk setempat. Kampung Biasa pula tertumpu kepada usaha menaik taraf infrastruktur serta mengindahkan persekitaran melalui elemen reka bentuk bandar dan landskap.
“Fokus utama kerajaan adalah memastikan pelaksanaan PSKL2040 dapat diterjemahkan dengan baik menerusi perancangan pembangunan dan usaha penaiktarafan kampung-kampung di Kuala Lumpur secara berterusan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) di Dewan Rakyat.
Jelas beliau, buat masa ini, pihaknya belum ada sebarang kajian atau keputusan untuk mencalonkan mana-mana kampung di ibu negara sebagai Tapak Warisan UNESCO.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang inisiatif pencalonan akan memerlukan kajian mendalam melibatkan kriteria teknikal dan impak sosial bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh UNESCO.
“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkasakan perkampungan di ibu negara dengan perancangan pembangunan yang mampan, sambil memastikan nilai warisan dan kepentingan komuniti setempat terus terpelihara,” katanya.-WILAYAHKU