KATA orang, kita tidak dapat memiliki pelangi tanpa hujan dan kita tidak akan tahu seperti apa rasanya manis tanpa merasakan yang pahit.
Peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Sheila Abdull akui pengalaman pahit manis sepanjang tahun 2024 membuatkan dirinya menjadi lebih matang.
“Tahun ini saya paling sedih apabila kehilangan ibu mertua, Mimi Zuriati Badli, yang meninggal dunia akibat kanser rahim, pada 24 Mei lalu.
“Sejak berkahwin, saya anggap arwah seperti ibu sendiri. Sedih dan pedihnya hati apabila arwah pergi tinggalkan kami semua. Sudahlah saya sedang syarat mengandung masa tu. Sehingga ke hari ini, rasa hidup ini tak lengkap.
“Kalaulah arwah masih ada, ada ketika saya masuk GV11 ini, dialah antara orang kuat atau penyokong setia yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk menantunya ini.
“Alhamdulillah, dalam GV11 ini saya bertuah kerana mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami dan keluarga. Tak lupa juga, peminat-peminat saya SheilaStar kerana sentiasa menjadi kekuatan saya. Hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Nursheila Abdullah, 36, yang juga isteri kepada bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir, 2024 turut memberi banyak kenangan manis buat dirinya.
“Selang seminggu arwah ibu mertua pergi, saya dikurniakan bayi lelaki. Bayi yang dinanti-nantikan dalam keluarga saya. Sebab kedua-dua anak perempuan. Adik beradik, anak-anak saudara pun semua perempuan.
“Jadi apabila lahirnya Moussa El Kazeem ni jadi buah hati semua oranglah. Kiranya Moussa akhiri penantian kami,” ujarnya.
Selain itu, menyertai GV11 juga satu kenangan manis buat Sheila Abdull yang memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Dipanggil untuk join GV11 setelah beberapa tahun tak dapat sertai atas beberapa faktor.
“Apabila dapat nyanyi balik seperti ada semangat baharu. Dulu, saya muda lagi. Pengalaman tak banyak. Kali ini lebih semangat dan lebih fokus, mungkin disebabkan faktor usia serta lebih matang,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU