Berita

Kaji keberkesanan bahan disinfeksi basmi Covid-19

ANNUAR ketika meninjau operasi besar-besaran disinfeksi di sekitar Masjid Seri Petaling semalam. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 28 Mac 2020 7:29 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk mengkaji keberkesanan proses nyahkuman yang dilakukan ke atas kawasan dan premis tertentu bagi mencapai matlamat untuk hapuskan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, DBKL telah diminta agar melakukan ujian dalam menentukan  keberkesanannya selepas proses disinfeksi itu dilaksanakan.

“Kita hendak tentukan apa yang kita sembur itu betul atau tidak dan virus itu benar-benar mati dan seterusnya kawasan berkenaan bebas Covid-19.

“Saya bimbang sekiranya perkara yang kita lakukan ini tiada keberkesanan, jadi habis sumber yang kita gunakan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Proses Pembersihan Disinfeksi  di sekitar kawasan Masjid Jamek Seri Petaling di sini hari ini.

Annuar berkata, proses tersebut tidak boleh dilakukan dalam ruang lingkup amalan biasa dan mahu DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan mengkaji keberkesanan operasi yang dilakukan.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil peluang untuk mengkaji keberkesanan, teknik, teknologi dan bahan yang digunakan.

“PBT juga harus membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk masa akan datang dan perlu dipertingkat selaras dengan keadaan semasa,” katanya.

Annuar memberitahu, pihaknya juga perlu melihat keupayaan aset sedia ada dan keberkesanan ketika ia digunakan.

“Banyak aset ini digunakan untuk pengasapan nyamuk aedes dan sebagainya dan dalam situasi ini, kita memerlukan satu langkah yang lebih spesifik.

“Oleh itu, saya hendak melihat sendiri apakah bentuk peralatan, teknologi dan apakah bahan yang digunakan dalam operasi hari ini,” katanya.

Menurut Annuar, negara ini agak ketinggalan dari segi aset yang ada dan perlu melihat peralatan digunakan di China serta negara lain bagi proses disinfeksi.

“Kita perlu lihat apa yang dilakukan di Wuhan dan negara lain peralatan, teknologi dan bahan yang digunakan untuk proses tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Datin Dr. Noor Akma Shabudin berkata, operasi ini dikendalikan jabatannya dengan kerjasama DBKL dan Alam Flora Sdn. Bhd.

“Operasi hari ini melibatkan kira-kira 100 kakitangan DBKL dan Alam Flora untuk proses disinfeksi di sekitar Seri Petaling.

“Kita turut menggunakan dua unit ‘High Power Jetter dari Alam Flora, tujuh unit mesin Ultra Low Volume (ULV) yang mana satu unit dimiliki DBKL dan enam unit milik swasta, 20 unit mist blower dan 16 unit spray canned,” katanya

Tambah Noor Akma, bahan kimia yang digunakan adalah J-Pine yang dicampur dengan air dan memakai kaedah menyembur campuran tersebut di permukaan jalan raya serta di udara.

Noor Akma memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Alam Flora telah melakukan proses disinfeksi bahagian dalam 20 buah pasar awam di seluruh Kuala Lumpur.

“DBKL diberi tanggungjawab untuk disinfeksi di bahagian luar dan kita akan siapkan jadual dan kita akan mulakan di kawasan ‘panas’.

“Setelah itu baru kita laksanakan di kawasan tumpuan orang ramai dan ia akan dijadualkan,” katanya.

Kata Noor Akma lagi, pasukannya akan melaksanakan yang terbaik dengan aset sedia ada walaupun berhadapan dengan logistik yang terhad.

“Setakat ini, bahan yang digunakan hanya bertindak balas terhadap bakteria dan selepas proses ini, kami akan jalankan ujian susulan untuk melihat keberkesanan bahan yang digunakan itu terhadap virus tersebut.

“Kita akan jadikan China sebagai panduan bagi disesuaikan di Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas