PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mengaitkan Kerajaan Perpaduan menyokong petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran PN serta jemaah Menteri yang berkuasa ketika itu hanya mendiamkan diri dan tidak mengambil sebarang tindakan ketika petisyen itu dibuat sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kuasa pemerintahan pada November 2022.
“Bagaimana seorang menteri boleh kata saya tidak tahu. Saya tegaskan di sini kerana ada percubaan seolah kita menentang. Di mana yang kita menentang? Siapa perintah masa itu, siapa Perdana Menteri, siapa Menteri Undang-Undang. Sekarang semua bebanan pada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin mengetahui pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung Notis Petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina dan anaknya yang dilihat berusaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Perdana Menteri turut membidas sikap pemimpin PN yang hanya mahu mempolitikkan isu berkenaan dan mencari salah kerajaan sedangkan ketika mereka berada di tampuk kuasa tidak peka mengenai isu terbabit.
“Saya hanya ambil alih (kerajaan) November tahun lalu, sedangkan kes (Iki Putra Mubarak) sejak 2021 dan 2022 (petisyen Nik Elin). Tidak ada pula mereka nak tubuhkan jawatankuasa khas. Jadi tak usahlah dipolitikkan dan jangan cemarkan Perlembagaan Persekutuan, malah bersumpah (kononnya) untuk pertahankan Perlembagaan,” katanya.
Anwar berkata tindakan tersebut hanya menyebabkan isu sebenar iaitu bidang kuasa negeri boleh melaksanakan undang-undang sendiri tanpa berunding dengan Kerajaan Persekutuan.
“Substantifnya adalah isu bidang kuasa, adakah negeri boleh buat undang-undang (sendiri) atau harus berunding dengan peringkat persekutuan.
“Ini bukan keputusan substantif soal syariah, ia soal bidang kuasa. Apakah negeri boleh buat (undang-undang)?
“Kita bayangkan, kalau negeri itu diberikan ruang sewenang-wenangnya, semua negeri buat undang-undang dan setiap ‑negeri itu ada percanggahan” jelasnya lagi.
Perdana Menteri turut menyelar dakwaan pembangkang yang menuduh pentadbirannya menentang pemerkasaan undang-undang syariah dengan mengaitkannya sebagai agenda mencabar perundangan syariah di negara ini selain meminta mana-mana pihak termasuk ahli politik tidak ‘menunggang’ isu notis petisyen Nik Elin Zurina.
“Saya tegaskan perkara ini kerana ada percubaan seolah (mengatakan) kita menentang (undang-undang syariah).
“Kita akan gesa (tindakan segera) dilakukan Menteri Agama, termasuk memberi ruang kepada semua pihak, bukan hanya (pihak) kerajaan tetapi pembangkang, alim ulama dan pihak lain. Ini memandangkan ada persepsi sebahagian orang Islam, seolah ini mencabar perundangan syariah kerana persepsi ini timbul disebabkan orang politik menunggang agama untuk mainkan isu ini,” katanya.
Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata bahawa kes berkenaan bermula sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Kes ini (difailkan) pada 2022 dengan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran (membuat petisyen) pada 30 September 2022. Kita dianggap kurang islamik sedangkan kerajaan sekarang inilah yang ambil tindakan lebih tegas,” katanya.
Petisyen yang difailkan Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan, adalah bagi mengisytiharkan 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Sehubungan itu, satu Himpunan Selamatkan Syariah dianjurkan PN di perkarangan Istana Kehakiman bagi membantah tindakan Nik Elin Zurina dan anaknya dan sebahagian besar Ahli Parlimen gabungan berkenaan turut hadir ke Putrajaya sehingga sesi mesyuarat Dewan Rakyat pada sebelah pagi (Isnin) ‘sepi’ tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang. – WILAYAHKU