Berita

Kadar penderma darah masih rendah, negara perlukan 730,000 beg darah setahun

- Diterbit 13 Januari 2025 11:03 AM MYT

KADAR penderma darah di negara ini masih lagi rendah iaitu sebanyak 2.3 peratus daripada populasi yang menderma, berbanding 5 peratus yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi mencapai tahap mencukupi, negara mensasarkan kadar pendermaan darah 3.0 hingga 4.5 peratus menjelang 2030.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setiap hari negara memerlukan 2,000 hingga 2,200 beg darah sehari bersamaan 730,000 beg setahun untuk tujuan rawatan.

“Bekalan darah yang mencukupi dan stabil adalah penting untuk memastikan sistem kesihatan awam dapat beroperasi dengan lancar.

“Sekiranya kadar pendermaan menjadi rendah dan tidak stabil, perkhidMatan kesihatan yang bergantung kepada tranfusi darah akan terjejas,” ujar kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah merasmikan Kempen Derma Darah Persatuan Srikandi Sisters Till Jannah SK 73, di Kuala Lumpur.

Program itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan menderma darah sebagai tanggungjawab sosial.

Turut hadir wakil Menteri Peladangan dan Komoditi, Mohd Nor Ibrahim; Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Mohammad Masrin Md Zahri; Pengerusi Srikandi Tun Fatimah Sisters Till Jannah SK73, Datin Zahrah Abdullah dan Pengerusi Madrasah Taman Maluri Kuala Lumpur, Zulkifli Katman.-WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas