Berita

Kabinet tubuhkan RCI siasat Pulau Batu Puteh

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 24 Januari 2024 3:10 PM MYT

MESYUARAT kabinet bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan keanggotaan akan dibawa untuk perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

“Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan, dan pentadbiran awam.

“Siasatan akan dijalankan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya yang juga Setiausaha Jemaah Menteri dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas