Berita

JWP teroka bentuk kerjasama baharu basmi kemiskinan tegar

- Diterbit 30 Oktober 2024 12:47 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama baharu yang boleh diwujudkan bagi membantu jabatan membasmi kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ini bersesuaian dengan pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) yang digariskan kerajaan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Menurutnya, JWP sentiasa berganding erat dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menjayakan hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Di peringkat JWP, Mesyuarat Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Wilayah Persekutuan diadakan secara berkala.

“Ia bagi menyelaras urusan penyaluran bantuan, sama ada bantuan tunai atau bukan tunai, bersama semua pihak berkepentingan.

“Antaranya Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah-langkah yang diambil bagi menyelaraskan semua bantuan dari semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk jaminan kesamarataan bagi golongan miskin tegar di Wilayah Persekutuan.

Zaliha berkata, JWP turut menganjurkan sesi libat urus sebagai salah satu platform untuk menyantuni ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di 13 buah kawasan Parlimen di bawah Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, sesi libat urus tersebut bertujuan untuk menyelaras dan mengemas kini maklumat peribadi mereka bagi tujuan penyaluran bantuan.

Katanya, sesi berkenaan bukan sahaja melibatkan agensi-agensi berkaitan malah turut mendapat kerjasama dan penglibatan daripada Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Wilayah Persekutuan.

Selain itu katanya, JWP melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melaksanakan program-program pendayaupayaan bertujuan membangunkan kapasiti setiap peserta yang terdiri daripada KIR atau ahli isi rumah miskin tegar.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan mereka dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian seterusnya membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan atau padanan pekerjaan.

“Program pendayaupayaan ini dijayakan bersama dengan rakan-rakan strategik JWP.

“Program ini lebih berdaya mampan dalam menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan yang berterusan kepada golongan ini seterusnya dapat membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan tegar tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan berbentuk tunai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas