Berita

JWP perluas kerjasama dengan syarikat global

Foto: Facebook Dr Zaliha Mustafa
- Diterbit 12 Oktober 2024 1:32 PM MYT

LAWATAN kerja di China memberikan inspirasi untuk meneroka dan memperluaskan kerjasama di antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan syarikat global seperti Huawei Technologies Co Ltd dan BYD.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata kerjasama itu adalah usaha untuk mencapai pembangunan mampan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata hari ini merupakan hari kelima di China.

“Alhamdulillah, berpeluang mengadakan perbincangan dengan dua syarikat global terkemuka, Huawei dan BYD.

“Kedua-dua syarikat ini bukan sahaja memainkan peranan utama dan kemajuan teknologi di China, malah telah melebarkan sayap mereka ke seluruh dunia, termasuk Malaysia,” katanya.

Menurut Zaliha, pada pagi ini beliau akan memulakan dengan perbincangan bersama Huawei yang diketuai oleh Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Kerajaan Global, Wang Ke.

Beliau berkata Huawei yang telah mula bertapak dalam industri lebih 40 tahun lalu adalah peneraju dalam teknologi komunikasi, peranti elektronik dan peralatan 5G global.

“Huawei juga terkenal dengan pelaburannya dalam teknologi awan, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian bandar pintar yang sangat relevan dengan usaha pembangunan Wilayah Persekutuan.

“Semasa lawatan ke Huawei Enterprise Business Von Neumann Exhibition Hall, saya ditunjukkan bagaimana teknologi Huawei digunakan dalam pelbagai industri di seluruh dunia,” katanya.

Tambah Zaliha antaranya termasuklah bandar pintar, pusat data awan, perkhidmatan awam, lapangan terbang pintar, inovasi bandar, perlombongan dan juga penyelesaian untuk sektor minyak dan gas.

Beliau juga ditunjukkan bagaimana satu platform beroperasi sebagai ‘otak’ yang memberikan satu ‘bird-eye’s view’ kepada kerajaan yang akhirnya boleh diperincikan kepada ‘data driven centralised decision making’.

“Teknologi sebegini berpotensi untuk dilaksanakan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ke arah kelestarian alam dan pewujudan bandar pintar, selaras dengan visi Bandar CHASE,” katanya.

Sementara itu Zaliha berkata beliau juga telah dibawa melawat ke Smart Longgang District Council.

Beliau menyaksikan secara langsung bagaimana pengurusan sebuah bandar pintar dikendalikan melalui Pusat Operasi Bersepadu.

“Saya teringat kepada Putrajaya Command Centre (PCC) yang tidak kurang majunya.

“Bagaimanapun, ada potensi untuk kita bekerjasama bagi memastikan pengurusan perbandaran dengan menggunakan teknologi dalam pembuatan keputusan ini dilaksanakan secara optimum,” katanya.

Kata Zaliha beliau juga mengadakan perbincangan dengan syarikat BYD, sebuah syarikat multinasional China yang diasaskan sejak tahun 1995 dan memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, di Malaysia, BYD sedang bekerjasama dengan Sime Darby Motors dalam memperkenalkan EV di pasaran Malaysia.

“Dalam lawatan tersebut, saya diperkenalkan dengan model BYD Yanwang U8, sebuah kenderaan canggih yang kalis air dan mampu meredah air.

“Ini menunjukkan keupayaan teknologi tinggi oleh BYD. Selain itu, saya turut diberi penerangan mengenai BYD SkyShuttle, sebuah sistem transit bandar tanpa pemandu yang dikuasakan oleh elektrik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas