BAGI meningkatkan landskap sosioekonomi Labuan, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menggariskan pelan komprehensif merangkumi 92 program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata 92 program itu digariskan secara strategik untuk memacu Labuan ke hadapan dalam laluan pembangunan yang mampan.
“Selepas lawatan kerja Perdana Menteri tahun lepas, beliau telah meminta agar kementerian dan agensi kerajaan untuk mengadakan program di Labuan pada tahun 2024.
“Lanjutan daripada arahan tersebut, kami di JWP telah menerima dan mengumpul sebanyak 92 program yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan sepanjang tahun ini.
“Sudah pasti kehadiran peserta ke 92 program itu akan memberi impak positif kepada Labuan, bukan sahaja dengan meningkatkan sosioekonomi Labuan malah terhadap ekonomi masyarakat setempat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2024 dan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Dalam usaha memacu ekonomi Labuan menerusi sektor pelancongan, Dr Zaliha telah mengarahkan Perbadanan Labuan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menubuhkan satu pasukan khas bagi merancakkan sektor pelancongan di pulau itu.
“Objektif utama pasukan petugas ini untuk mengenal pasti dan mengetengahkan tapak pelancongan menarik yang berpotensi untuk merancakkan sektor pelancongan di pulau ini.
“Saya mahu pasukan petugas ini ditubuhkan segera kerana inilah agenda kita untuk merancakkan sektor pelancongan Labuan,” katanya.
Dr Zaliha turut menyatakan keyakinan dengan penubuhan pasukan khas itu dapat memainkan peranan penting mampu menjadikan sektor pelancongan di Labuan terus berkembang seperti hasratnya untuk menjadikan Labuan sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan.- WILAYAHKU