Artikel

Juadah basi, kotor di bazar Ramadan

PPJ telah mengeluarkan notis perintah tutup terhadap gerai tersebut susulan tular Mi Tonggek yang dibeli dicemari ulat.
- Diterbit 22 April 2022 1:34 AM MYT

KECEWA berbaur geram apabila juadah yang dibeli di bazar Ramadan untuk berbuka puasa sebaliknya membawa padah menyebabkan keracunan makanan, sementara ada pula yang basi atau dicemari objek sehingga tidak boleh dimakan.

Insiden ini dilaporkan berlaku di bazar Ramadan seluruh negara, ketika bulan puasa merangkak meninggalkan minggu ketiga menuju ke minggu terakhir.

Dalam insiden di Kuala Terengganu, dua beradik menderita keracunan makanan setelah memakan puding buih yang dibeli dari bazar Ramadan Kampung Bukit Tumbuh di bandar itu. Akibatnya kedua beradik ini terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Di Kuantan, Pahang, tepung pelita yang dibeli oleh seorang ibu untuk anaknya di bazar Ramadan Kuantan didapati sudah berlendir dan berbau. Ertinya sudah basi. Di bazar Ramadan Ipoh, Perak, tepung pelita yang dijual pula ‘diserikan’ dengan gumpalan rambut manusia. Tentu tidak mungkin dimakan.

Di Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya, ada laporan penemuan ulat dalam makanan yang dijual di bazar Ramadan Putrajaya. Mi tonggek viral yang dibeli pelanggan didapati ada ulat dan hanya disedari ketika hendak berbuka puasa. Perbadanan Putrajaya (PPj) dilapor sudah mengambil tindakan sewajarnya.

Adi terkedu dengan laporan ini semua. Mungkin ada banyak lagi kes yang tidak dilapor. Sampai hati peniaga menganiaya pembeli dengan menjual juadah yang sudah tidak layak dimakan manusia. Kejadian ini menimbulkan keraguan mengenai kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Terdapat lebih 5,000 bazar Ramadan di seluruh WP. Seperti kata orang, banyak udang banyak garam. Banyak bazar Ramadan lagi besar kebarangkalian kes pencemaran makanan berlaku, dan ia terjadi di Putrajaya.

Adi harap tiada lagi kes lain berlaku. Adi dan semua warga WP berharap makanan dan minuman yang dijual melalui piawaian kebersihan yang tinggi. Inilah teras utama untuk menjamin makanan yang dijual di bazar Ramadan seluruh negara berkualiti dan selamat dimakan.

Namun kadangkala ia tetap berulang. Ambil kes keracunan kerana makan puding buih di Terengganu. Ia bukan pertama kali terjadi. Pada Jun 2020, seorang wanita berusia 25 tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas makan puding buih yang dibeli secara dalam talian atau online. Beberapa orang ahli keluarga juga dirawat di hospital sama.

Seramai 99 orang dari Kuala Terengganu dan Marang pula muntah dan cirit-birit akibat keracunan makanan selepas memakan puding buih yang juga dibeli online. Ia melibatkan 20 keluarga, 77 pesakit di Kuala Terengganu dan 22 di Marang.

Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Terengganu mendapati punca kejadian ialah telur yang digunakan membuat puding sudah tamat tempoh. Ini membuktikan pentingnya penyediaan makanan sentiasa diawasi dari peringkat awal, termasuk tidak menggunakan bahan-bahan yang sudah luput tempoh.

Dalam hal ini, sifat ikhlas dan jujur penjual sangat penting. Adi percaya peniaga yang jujur akan sentiasa memastikan bukan sahaja makanan enak, tetapi bersih. Dia boleh menjual tanpa ragu-ragu kerana yakin makanannya tidak membahayakan orang ramai.

Jangan buat dengan mengenepikan aspek kesihatan asalkan makanan siap untuk dijual. Ada yang tdak peduli kerana berandaian tidak ada sesiapa yang nampak jika pun menggunakan bahan luput atau dibuat dalam persekitaran tidak bersih.

Akibat tidak peduli dan sambil lewa inilah rambut pun masuk dalam kuih. Jangan lupa, Allah melihat apa yang dibuat dan Allah yang memberi rezeki. Berniagalah kerana Allah. Makanan bukan sahaja perlu bersih, hati juga mesti bersih.

Adi juga sarankan peniaga sentiasa memastikan juadah yang dijual dalam keadaan baik. Ini dapat menghindarkan penjualan makanan yang sudah basi berlendir seperti yang berlaku di Kuantan. Ingatlah orang membayar untuk membeli. Pembeli berhak mendapat yang terbaik.

Jika sudah pasti tidak elok, buang sahaja. Jangan memerangkap pembeli dan menjadikan mereka mangsa kerana biasanya pembeli yang hendak cepat tidak akan memeriksa dengan teliti makanan yang dibeli.

Mereka percaya sepenuhnya kepada penjual. Jangan sampai mereka terkena. Lain kali mereka tidak akan percaya dan peniaga dipulaukan. Malah perbuatan ini juga boleh merosakkan nama baik peniaga lain yang jujur.

Dalam hubungan ini Adi alu-alukan tindakan proaktif yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertindak pantas terhadap para peniaga yang mengabaikan kebersihan serta menjual barangan tidak selamat di bazar Ramadan.

Pemantauan dan laporan serta yang diviralkan oleh orang ramai, membolehkan tindakan pantas diambil. Ini termasuk mengenakan kompaun dan penutupan gerai niaga. Sehingga masalah kebersihan diatasi, gerai ini tidak dibenarkan beroperasi semula.

Memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Operasi Ramadan 2022 dijalankan di seluruh negara bagi mengesan tahap kebersihan gerai dan peniaga. Sehingga ini, lebih 4,500 premis bazar Ramadan seluruh negara diperiksa.

Hasil operasi itu, sejumlah lebih 77 notis kompaun dikeluarkan sehingga ini bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Nilai kompaun dianggarkan RM38,500. Adi juga difahamkan lebih 178 sampel makanan diambil untuk dianalisis.

Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Demi keselamatan, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai membeli makanan di premis yang bersih. Pihak KKM pula akan sentiasa peka dan prihatin berhubung isu yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Malah beliau menggalakkan orang ramai yang mempunyai apa juga kemusykilan berhubung isu yang ada hubung kait dengan keselamatan makanan menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau pejabat kesihatan negeri untuk penjelasan.

Jelas, isu keselamatan makanan dan kesejahteraan pengguna amat dititik berat oleh KKM khususnya. Kerana itu peniaga perlu mengambil perhatian serius peringatan KKM dan memastikan apa juga makanan yang dijual terjamin kebersihannya.

Peniaga juga mesti sentiasa mengamalkan kebersihan diri, gerai serta persekitaran. Jika aspek ini dijaga, Adi percaya gerai dan juadah yang disajikan menjadi pilihan ramai.

Bazar Ramadan adalah peluang setahun sekali untuk berniaga mencari rezeki. Gunakan peluang ini sebaik-baiknya dengan penuh kejujuran. Berikan produk terbaik untuk pembeli dengan harga berpatutan. Jika makanan enak, bersih dan harga menasabah Insya-Allah murah rezeki.

Peniaga yang jujur dikasihi Allah dan Allah berkuasa melipat gandakan rezeki jika dikehendakiNya. Oleh itu dalam berniaga, jangan hanya fokus kepada mencari untung tetapi carilah juga keredhaan Allah.

Adi — Suka puding caramel – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas