PERJANJIAN Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai hari ini merupakan kerjasama unik antara Malaysia dan Singapura berteraskan asas saling menghormati dan cita-cita bersama.
Perjanjian itu dimeterai susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, melalui perjanjian tersebut, Malaysia dan Singapura menggabungkan kekuatan masing-masing untuk membangunkan sebuah zon ekonomi khas.
“JS-SEZ adalah sebuah kerjasama unik yang jarang kita saksikan, dua negara jiran berganding bahu sebagai satu pasukan untuk mempromosi dan menarik pelaburan global.
“Sumber tanah yang luas dan asas perindustrian Malaysia melengkapi kepakaran teknologi serta rangkaian kewangan Singapura, menjadikan JS-SEZ salah satu destinasi pelaburan paling menarik di dunia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rafizi memberitahu, perjanjian itu melibatkan sembilan kawasan strategik, Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City, Pengerang dan Desaru.
Kesemua kawasan tersebut katanya, menawarkan peluang kepada perniagaan dalam 11 sektor utama termasuk pembuatan, logistik, tenaga serta ekonomi digital dan hijau.
“Kerjasama ini membuktikan potensi besar yang boleh dicapai apabila dua negara bekerjasama.
“Dengan penyelarasan usaha, Malaysia dan Singapura bercita-cita untuk menarik pelaburan inovatif, mencipta 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta melaksanakan 100 projek berimpak tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau menambah, ia menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia dan Singapura komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil dan progresif.
“Apa yang menjadikan JS-SEZ begitu istimewa ialah satu perjanjian yang melangkaui kerjasama dua hala. Ia mencerminkan visi bersama untuk memperluas semangat kerjasama ini ke rantau lain dan ASEAN,” katanya.
Jelasnya, JS-SEZ membuka peluang kepada sebuah model perkongsian ekonomi yang bukan sahaja memperkukuh kedudukan kedua-dua negara, tetapi juga meningkatkan daya saing Asia Tenggara di peringkat global.
Melalui JS-SEZ katanya, Malaysia dan Singapura akan menetapkan tahap baharu dalam kerjasama ekonomi yang menonjolkan perpaduan, inovasi, dan cita-cita tinggi.
“Perjanjian ini bukan sekadar dokumen tetapi satu pelan tindakan untuk kesejahteraan semua. Semoga usaha kita ini diberkati bersama dan membawa limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat Malaysia dan Johor,” tambahnya. – WILAYAHKU