JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan saluran tambahan bagi bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid Mobile secara ujian rintis bermula esok.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, aplikasi tersebut akan menggunakan teknologi mudah alih terkini untuk memastikan platform disediakan lebih kukuh dan cekap dalam menangani isu aksesibiliti terhad Sistem JPJeBid sedia ada.
“Aplikasi JPJeBid Mobile dilengkapi dengan beberapa fungsi baharu antaranya mesra pengguna, navigasi, notifikasi dan ciri-ciri personalisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan aplikasi JPJeBid Mobile memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan, pihaknya akan melaksanakan kaji selidik secara dalam talian bermula esok melalui peti masuk akaun pengguna JPJeBid secara berperingkat.
“Maklum balas daripada pengguna JPJeBid sepanjang tempoh ujian rintis amat penting bagi tujuan penambahbaikan aplikasi JPJeBid Mobile,” katanya.
Tambahnya pengguna boleh memuat turun aplikasi JPJeBid Mobile menerusi Apple AppStore, Google PlayStore atau Huawei AppGallery dan log masuk menggunakan akaun JPJeBid sedia ada dan sepanjang tempoh ujian rintis ini, saluran bidaan nombor pendaftaran kenderaan sedia ada portal JPJeBid https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/ dan aplikasi JPJeBid masih boleh digunakan seperti biasa.
“Pihak JPJ menghargai sokongan daripada semua pihak dalam pelaksanaan ujian rintis aplikasi ini dan menyeru orang awam bersama-sama pihak Kerajaan dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan JPJ yang lebih cekap secara digital,” katanya. – WILAYAHKU