Berita

JPJ panggil semula 3,722 Perodua Alza, Aruz, motosikal Honda CB350RS

- Diterbit 4 November 2024 11:25 AM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 3,722 kenderaan model Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024 kerana tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia membabitkan 2,518 kereta Perodua Alza 1500 X (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT) selain 1,139 Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV.

Menurut beliau, ia berkaitan ketinggian sasaran lampu utama yang tidak memenuhi peraturan spesifikasi.

“Bagi 65 motosikal Honda CB35ORS pula, ia berkaitan permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem brek antikunci (ABS), ‘traction control’ dan meter had laju tidak tepat.

“Setiap pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi Perodua Manufacturing Sdn Bhd (Perodua) dan Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Aedy Fadly berkata, ia bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara.

Jelasnya, mana-mana komponen uyang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua Manufacturing dan Boon Siew Honda.

“Oleh yang demikian semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, bagi maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula itu, pemilik kenderaan boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda berdekatan.

Bagi pemilik Perodua, mereka boleh hubungi talian 1-800-88-6600 atau melayari https://www.ufirst.com.my/member/login atau melalui aplikasi U-First.

Sementara untuk Boon Siew Honda, pelanggan boleh menghubungi talian 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line) atau melayari https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/.

Jelas Aedy Fadly, JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan kesemua unit kenderaan terbabit akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas