Berita

Jordan Mintah, penyelamat TFC II buru Piala Bandaraya Shah Alam

- Diterbit 22 Februari 2021 3:14 AM MYT

JORDAN Mintah sekali lagi muncul penyelamat apabila dua jaringannya berjaya membawa Terengganu FC II (TFC II) mengikat Sri Pahang 2-2 dalam aksi kedua Piala Bandaraya Shah Alam, malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, skuad Tok Gajah dilihat lebih mendominasi permainan dan berjaya merobek gawang skuad Penyu menerusi jaringan Mohd Faizal Abdul Rani pada minit ke-28 untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan TFC II bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mintah pada minit ke-60 sebelum penyerang import Sri Pahang FC Pedro Henrique meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-70.

Naib juara Liga Premier 2020 ternyata enggan mengaku kalah serta berusaha keras menyekat kemaraan pasukan Sri Pahang FC dan peluang hadir apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Mintah menewaskan penjaga gawang lawan Mohd Zarif Irfan Hishamudin 10 minit sebelum wisel penamat.

Pada aksi sepak mula saingan Piala Bandaraya Shah Alam Jumaat lepas, Mintah muncul penjaring tunggal skuad hitam putih itu ketika menentang UiTM FC menyaksikan keputusan seri 1-1.

Sri Pahang FC dijadual berdepan pasukan tuan rumah The Lions Troops esok.

Kejohanan Piala Bandaraya Shah Alam adalah aksi pemanas badan bagi ketiga-tiga pasukan bertanding sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bermula 5 Mac ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas