Berita

Jom serbu Floria Diraja Putrajaya esok!

- Diterbit 21 Ogos 2024 7:42 PM MYT

KAPSUL masa yang ditanam pada 29 Ogos 1995 buat pertama kalinya dibuka untuk tontonan umum sempena Floria Diraja Putrajaya 2024 yang bermula esok sehingga 1 September ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, kapsul yang dibuka pada 2020 itu pertama kali dibuka kepada pengunjung untuk mereka melihat sendiri apa antara perkara yang terkandung di dalam kapsul berkenaan.

“Pengunjung berpeluang dapat melihat kapsul dan maklumat terkandung di dalamnya di Laman PPj.

“Kelainan Floria Diraja tahun ini ialah kapsul yang ditanam pada 1995 dibuka kepada umum untuk melihat apa yang terkandung di dalamnya,” katanya selepas sesi walkabout dan pratonton media Floria Diraja Putrajaya hari ini.

Dalam masa sama, Fadlun berkata Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Floria Diraja esok dan orkid istimewa akan diperkenalkan bersempena perasmian itu.

Untuk Floria Diraja kali ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan kehadiran satu juta pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.

“Untuk warganegara, kita kenakan caj bayaran tiket dewasa sebanyak RM10 manakala RM5 buat kanak-kanak. Untuk bukan warganegara pula, tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak RM25. Buat kanak-kanak bawah tujuh tahun dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pula adalah percuma.

“Bagi pengunjung yang hadir, kita juga akan menyediakan kemudahan seperti surau, tandas, kerusi roda buat OKU atau warga emas serta paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial kami di Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas