JABATAN Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Perpaduan Negara melancarkan inisiatif baharu menerusi Program Gerak Rahmah 2023: Jom Ronda Perdana Skim Rondaan Sukarela bagi menangani masalah jenayah di kawasan setempat.
Menurut JPNIN, program tersebut berkonsepkan rondaan bersama pemimpin masyarakat dan agensi-agensi keselamatan.
“Program ini telah dilancarkan oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz bertempat di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apartment 18R13, Presint 18, Putrajaya pada 17 Mac 2023.
“Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga keselamatan kawasan kejiranan di samping meningkatkan kerjasama dengan semua agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH),” ujar kenyataan tersebut.
Tambahnya, program tersebut merupakan salah satu daripada Agenda Kerja KRT atau KRT4ALL iaitu di bawah Gerak Kerja KRT Selamat.
“Program bermula pada pukul 8 malam dengan aktiviti taklimat keselamatan kejiranan dan beberapa pengisian lain antaranya penyerahan sijil dan peralatan Skim Rondaan Sukarela Baharu 2022 (5 SRS), penyampaian sijil penghargaan SRS Putrajaya (23 SRS), penyerahan sumbangan Program Komuniti Rahmah, penyampaian sijil penghargaan rakan strategik (PDRM, PPj, BPH), Demo Tangkapan Orang Awam oleh PDRM, Pemeriksaan Barisan dan Rondaan Bersama Komuniti yang melibatkan 30 anggota PDRM, 20 penguat kuasa PPj.
“Dalam masa yang sama supaya mereka sedar bahawa tugas menjaga keselamatan diri, keluarga dan komuniti bukan hanya terletak di bahu PDRM dan agensi keselamatan semata-mata,” ujarnya sokongan dan bantuan daripada komuniti amatlah diperlukan agar matlamat membanteras jenayah dapat dicapai dengan jayanya.
Terdahulu, turut hadir melancarkan ‘Program Gerak Rahmah 2023: Jom Ronda Perdana Skim Rondaan Sukarela’ Pengarah JPNIN, Ruzylawati Mustapha Kamar; Timbalan Setiausaha Bahagian (K) Seksyen Pengurusan Kuarters BPH, Mohd Shahrul Nizam Mohd Salleh; Pengerusi KRT Apartment 18R13, Mohd Hisham Ahmad Shukri dan Pengerusi KRT Apartment 18R12, Ir Faizal Abdullah. -WILAYAHKU