Selebriti

Jom Raya raih lebih sejuta tontonan

- Diterbit 11 April 2025 1:15 PM MYT

PERCUBAAN Daiyan Trisha menghasilkan lagu raya pertamanya berjudul Jom Raya ternyata membuahkan hasil apabila lagu itu mendapat lebih sejuta tontonan dalam tempoh sebulan dilancarkan.

Tidak menyandarkan apa-apa harapan tatkala melancarkan lagu itu, penyanyi yang turut bertindak selaku komposer dan penulis lirik lagu itu berkata niatnya hanya mahu peminat menikmati melodi lagu yang santai dan ‘catchy’.

Namun dia tidak menyangka apabila lagu yang turut menampilkan Alfie Zumi itu mendapat penerimaan baik pendengar.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah menyokong lagu Jom Raya sehingga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Jujurnya saya hanya ingin pendengar menikmati dan berseronok dengan konsep lagu itu, kerana tema lagu Jom Raya lebih kepada manis dan comel.

“Saya gunakan bahasa santai atau ‘pick up line’ yang sering digunakan di media sosial, kerana bagi saya ia menarik untuk dijadikan sebuah karya dengan gabungan muzik tradisional dan moden,” katanya.

Lebih bermakna lagi kata Daiyan apabila Jom Raya merupakan lagu raya pertamanya sepanjang pembabitan hampir sedekad dalam dunia nyanyian.

Berkongsi lanjut kata Daiyan Jom Raya sudah disiapkan setahun lalu tetapi tidak sempat dirakamkan akibat kekangan masa.

“Idea menghasilkan Jom Raya tercetus melalui pemerhatian saya terhadap segelintir pengguna media sosial yang gemar menggunakan pick-up line dalam kehidupan seharian.

“Lagu itu sudah disiapkan tahun lalu cuma tak sempat dirakamkan. Jadi tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan.

“Rasanya ini antara projek paling mudah dan menyeronokkan,” kata Daiyan yang menulis lirik itu bersama-sama Glowrush dan Efry Arwis.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri pula, penyanyi yang turut bergelar pelakon itu berkesempatan pulang ke kampung halaman ibunya di Kuantan, Pahang.

Berada di sana pada raya kedua hingga keempat, Daiyan akui seronok dapat berkumpul bersama sanak saudara.

Menurut Daiyan, hari raya memang sangat dinanti-nantikan.

Selain dapat berkumpul, istimewanya tahun ini apabila dia juga mengambil kesempatan itu meraikan kejayaan lagu Jom Raya bersama mereka.

“Rasa gembira sangat kerana selain dapat berjumpa sanak saudara, saya juga seronok kerana kali ini dapat meraikan kejayaan Jom Raya di samping keluarga,” kata Daiyan.

Mengenai juadah wajib dihidangkan khas buat tetamu, kata Daiyan nasi dagang adalah antara menu wajib yang disajikan keluarganya setiap kali Syawal.

Sebelum ini, juadah itu disediakan neneknya tetapi kini tugas itu diambil alih ibunya.

“Memang nasi dagang menjadi pilihan utama kami, kerana nenek pakar memasak juadah ini. Bagi saya nasi dagang yang paling sedap adalah dari hasil air tangannya.

“Tapi selain nasi dagang, lemang juga menjadi antara makanan wajib pada pagi raya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas