ORANG ramai khususnya peminat dan percinta kucing dijemput hadir ke Program Jom Karnival Kucing MADANI pada 10 hingga 11 Ogos ini. Program tersebut yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 9 malam akan diadakan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata objektif utama karnival tersebut diadakan bagi menanamkan konsep ihsan buat pengunjung terhadap haiwan-haiwan jalanan ini terutamanya kucing.
“Program ini adalah antara inisiatif kerajaan bagi menanam sifat ihsan bukan sahaja untuk manusia tetapi kepada makhluk tuhan yang lain. Semua sedia maklum, kadang-kadang, kita tahu haiwan-haiwan terbiar ini, dizalimi, ditendang, dibuang tanpa belas ihsan.
“Justeru itu, kerajaan amat prihatin terhadap isu haiwan-haiwan jalanan tersebut dan kita mahu memupuk sifat kasih sayang terhadap haiwan-haiwan jalanan ini terutamanya buat kucing jalanan,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah Azman, program tersebut juga adalah ilham daripada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, semasa kempen Wan Azizah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, beliau melihat banyak masalah haiwan jalanan yang berkeliaran termasuk masalah tikus dan pelbagai lagi.
“Justeru itu, beliau (Wan Azizah), mengambil inisiatif untuk membina sebuah rumah kucing MADANI atas ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menempatkan kucing-kucing jalanan di satu tempat agar tidak mengganggu masyarakat dan menyebarkan penyakit-penyakit berjangkit.
“Ia juga yang pertama diadakan di Malaysia, kita masih dalam perancangan untuk menambah beberapa buah rumah kucing di setiap Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) nanti,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan Jom Karnival Kucing MADANI, antara program yang akan diadakan ialah pelancaran sukarelawan kucing, vaksinasi, kaunter pasport kucing, perihal penyakit berjangkit bawaan haiwan, mini zoo, kuiz, mewarna, soal jawab serta pelbagai lagi.
“Dalam program itu nanti, kita akan memberi 600 vaksin percuma selain orang ramai juga akan diberi kesedaran tentang bahayanya penyakit-penyakit berjangkit bawaan haiwan-haiwan terbiar ini serta cara-cara mengatasinya.
“Kita harap masyarakat juga punya kesedaran betapa pentingnya untuk memberi vaksinasi kepada haiwan-haiwan peliharaan mereka bagi menjauhi atau mengelak daripada penyakit-penyakit berjangkit dan merbahaya.
“Selain itu, program pasport untuk membuat pengenalan kepada kucing-kucing ini antara tarikan yang bakal menanti pengunjung yang hadir dalam program tersebut.
“Pasport kucing ini adalah lain antara yang lain di mana haiwan tersebut akan mempunyai konsep sama seperti kad pengenalan diri.
“Di samping itu, turut diadakan perasmian sukarelawan kucing di mana setakat ini sebanyak 200 orang yang berdaftar akan membantu untuk menyelamatkan serta memberi kesedaran berkenaan isu kucing-kucing terbiar ini. Dalam karnival kucing itu juga, Wan Azizah akan turut hadir,” ujarnya. – WILAYAHKU