Berita

JKR kenal pasti tiga kaedah pulihkan laluan dan cerun runtuh

JABATAN Kerja Raya (JKR) memasang kanvas sebagai tindakan awal bagi mengawal struktur cerun di kawasan runtuhan.
- Diterbit 27 April 2023 12:12 PM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan tiga pendekatan untuk memulihkan laluan dan cerun yang runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebelum bangunan itu di isytihar selamat untuk diduduki.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Infrastruktur) JKR Datuk Zulkipli Nasri berkata pendekatan jangka pendek yang akan dilaksanakan jabatan itu dalam tempoh dua minggu ini adalah untuk memulihkan laluan yang runtuh.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan semua urusan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diselesaikan dan operasi MACA kembali normal.

“Selepas itu kita akan letak gajet untuk memantau sama ada masih ada pergerakan tanah atau tidak. Gajet berbentuk pengesan akan mengukur pergerakan tanah secara ‘real-time’.

“Berdasarkan itu, kami akan menghasilkan reka bentuk (pembinaan dan pemulihan) yang tepat secepat mungkin. Tetapi kami menjangkakan langkah ini juga mengambil sedikit masa kerana ia bergantung kepada pergerakan tanah,” katanya selepas lawatan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed di lokasi hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Hasnol Zam Zam dan Timbalan Pesuruhjaya MACA Datuk Idris Zaharudin.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan siasatan awal jabatan cerun JKR mendapati tiada faktor semula jadi sebagai punca tanah runtuh.

Dalam hantarannya Facebook, Nanta berkata kebocoran pada paip air bawah tanah berkemungkinan besar menyebabkan tanah runtuh, dan JKR turut menjalankan siasatan terperinci.

Nanta berkata kebocoran paip menyebabkan tanah menjadi tepu, meningkatkan lagi daya sisian pada dinding penahan mikropile bersebelahan, dan menyebabkan sebahagian daripada dinding penahan runtuh bersama-sama dengan cerun.

Mengenai skala kerosakan, Zulkipli menjelaskan terdapat sekurang-kurangnya tujuh paip air mengalami kebocoran di kawasan terbabit.

“SPRM sebelum ini menyatakan bil air yang mereka tanggung meningkat dengan ketara dan itu adalah petunjuk awal ketirisan yang berlaku di sana.

“Kita akan jalankan siasatan lebih terperinci kemudian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas