Berita

JKPK kemuka enam syor tangani kenaikan harga insurans, takaful

Gambar hiasan
- Diterbit 11 Disember 2024 3:43 PM MYT

JAWATANKUASA Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) Parlimen mengemukakan enam syor bagi menangani isu kenaikan harga insurans dan takaful.

Pengerusinya, Suhaizan Kayat berkata, ia termasuk memperkenalkan pendekatan pilihan bayaran co-payment supaya kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful dengan pemegang polisi serta peserta takaful.

Katanya, ia diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

“Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kerajaan juga perlu merangka mekanisme yang lebih menyeluruh untuk mengawal harag perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan memastikan struktur harga yang lebih telus dan adil sekali gus mengelakkan beban kewangan yang tidak wajar kepada pesakit.

Katanya, langkah kawal selia itu juga akan merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.

“Kita juga mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepat pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur yang diberikan, seterusnya membolehkan pengurusan kewangan dan pembayaran yang lebih efisien.

“DRG akan menjadi pemangkin kepada kecekapan sistem kesihatan negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana kesihatan,” katanya.

Selain itu katanya, KKM perlu memperhebat usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif ‘Rakan KKM’.

Malah jelasnya, KKM dicadangkan menubuhkan Dana Kesihatan Negara bagi memastikan pembiayaan kesihatan terjaga.

“Dana ini bertujuan menyediakan sumber kewangan yang mampan bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat serta menampung peningkatan kos rawatan.

“Akhirnya, kerajaan perlu merancang pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks.

“Langkah ini termasuk penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan lebih modern,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM akan menentukan kawalan supaya kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pesakit dan menyumbang kepada peningkatan inflasi.

Katanya, BNM bersama Perbendaharaan dan KKM sedang meneliti dan merangka panduan tegas untuk memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful mengambil kira pelbagai aspek sebelum menaikkan premium. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas