Berita

Jho Low berkuasa di 1MDB, sekalipun tanpa jawatan, kata bekas CEO

- Diterbit 9 Februari 2021 12:12 PM MYT

AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan “man of the company” (kuasa sebenar di syarikat) sekalipun lelaki itu tidak mempunyai jawatan rasmi di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman.

Menurut Mohd Hazem, 47, Jho Low berkuasa memutuskan siapa CEO seterusnya untuk menerajui dana kekayaan berdaulat itu.

Saksi ke-10 pihak pendakwaan itu memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Wan Aizuddin  Wan Mohammed, dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan 1MDB di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Wan Aizuddin merujuk satu e-mel yang dihantar oleh saksi berkenaan kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, yang mana Mohd Hazem menyatakan beliau boleh menyarankan nama Azmi kepada Jho Low sekiranya CFO tersebut berminat menjadi CEO yang seterusnya.

Wan Aizuddin: Anda nyatakan jika Azmi berminat dengan jawatan itu, anda akan cadangkan namanya kepada Jho Low. Adakah anda berbuat demikian selepas itu?

Mohd Hazem: Tidak.

Wan Aizuddin: Jadi, apa yang anda nyatakan di sini ialah Jho Low mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan menjadi CEO berikutnya?

Mohd Hazem: Ya.

Saksi itu juga menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah berkongsi maklumat dalaman syarikat dengan Jho Low memandangkan lelaki tersebut merupakan “man of the company”.

Mohd Hazem juga bersetuju dengan peguam bahawa Jho Low “menempatkan” kroninya dalam 1MDB, seperti Jasmine Loo (pegawai perundangan 1MDB) dan Jerome Lee Tak Loong (sebahagian daripada pasukan pelaburan 1MDB).

Menurut saksi itu lagi beliau tidak dapat meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Jho Low  dalam mana-mana mesyuarat kerana nama lelaki tersebut perlu diselindung.

Ditanya selanjutnya oleh peguam itu, Mohd Hazem berkata beliau dimaklumkan oleh Jho Low sendiri bahawa namanya (Jho Low) tidak pernah disebut dalam mana-mana mesyuarat rasmi 1MDB.

“Beliau memberitahu saya tentang perkara ini semasa pertemuan kami di Putrajaya ketika saya ditawarkan jawatan ketua pegawai operasi di 1MDB pada 2012. Inilah budaya yang diamalkan. Semua orang tahu dan faham, namanya sama sekali tidak boleh disebut dalam rekod. Perkara ini amat difahami.

“Ini bukan sebarang syarikat. Ini syarikat yang dimiliki kerajaan dan dimiliki oleh seseorang yang mempunyai kuasa paling besar di Malaysia,” kata saksi itu.

Ditanya tentang transaksi wang berbilion ringgit yang dibuat untuk pelbagai projek, Mohd Hazem berkata dalam konteks kewangan dan operasi 1MDB, beliau hanya menuruti arahan Jho Low.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas