Berita

Jerebu berakhir, peralihan monsun Selasa ini

Meteorologi jerebu monsun
KENYATAAN Jabatan Meteorologi
- Diterbit 21 September 2019 10:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca berjerebu yang melanda negara pada masa ini akan bertambah baik menjelang peralihan monsun bermula 24 September ini.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan memaklumkan, fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 24 September dan berterusan sehingga awal November ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula 6 Mei lalu.

“Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam masa yang singkat terutamanya waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa keadaan cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Sehubungan itu, tambah kenyataan lagi, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas