Berita

Jemaah haji terkandas di KLIA: Polis siasat dua individu bergelar ‘Datuk’

- Diterbit 5 Jun 2025 2:30 PM MYT

PASUKAN Op Haji Terkandas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), menahan dua individu berhubung tawaran pakej haji percuma yang menyebabkan sekumpulan 80 orang jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kedua-dua suspek, seorang lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun, ditahan kelmarin dan dipercayai dalang kegiatan tersebut.

Katanya, mereka menggunakan gelaran ‘Datuk’ tetapi kesahihan anugerah itu dalam semakan pihak berkuasa.

“Sebanyak tujuh laporan polis telah diterima berkaitan penipuan tawaran haji itu. Namun tiada kerugian kewangan dilaporkan memandangkan pakej haji berkenaan ditawarkan secara percuma.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya menafikan laporan media yang mendakwa Pasukan Petugas Op Haji Terkandas telah menahan 80 orang jemaah haji yang kononnya menggunakan visa pelancong untuk ke Mekah.

“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak benar.

“Dalam insiden yang berlaku pada 2 Jun itu, Pasukan Petugas Op Haji Terkandas telah mengesan kehadiran sekumpulan jemaah haji di KLIA yang sedang menunggu ketibaan seorang individu bergelar ‘Datuk’.

“Individu tersebut dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka berlepas ke Tanah Suci,” katanya.

Jelas beliau, namun visa yang dijanjikan tidak pernah diperoleh.

Susulan itu katanya, salah seorang mangsa telah membuat laporan polis mendakwa beliau dan isteri telah menyerahkan pasport antarabangsa kepada dua individu yang menawarkan pakej haji secara percuma.

Katanya, pakej tersebut didakwa dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan yang berdaftar sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi tahun ini.

“Mangsa dijanjikan penerbangan ke Mekah pada 1 Jun namun sehingga 3 Jun tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat berkenaan.

“Mangsa turut menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan maklumat peribadi serta pasport antarabangsanya dan isteri disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Untuk itu pihaknya menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran luar biasa berkaitan ibadah haji selain memastikan sebarang urusan hanya dibuat dengan pihak yang sah dan diiktiraf pihak berkuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas