Berita

JAWI Food Bank manfaat tabung masjid, surau bantu golongan terjejas PKP

KIM YEW menyerahkan hamper yang berisi barangan makanan asas Bantu-Bantu Malaysia kepada Mohd. Ajib untuk JAWI Food Bank di Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini.
- Diterbit 12 Mei 2020 7:13 AM MYT

KUALA LUMPUR  – Ketika masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, institusi itu terus memainkan peranannya melalui inisiatif JAWI Food Bank yang terbukti dapat membantu ahli kariah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail berkata, ramai penduduk terputus bekalan makanan kerana terpaksa duduk di rumah ekoran wabak Covid-19 dan masjid serta surau Jumaat berfungsi dengan memberi sumbangan barang keperluan asas kepada golongan tersebut.

“JAWI Food Bank ditubuhkan setahun lalu dengan tiada modal. Kita mengajak masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan untuk menyumbang sekurang-kurangnya RM2,000.

“Setakat ini, kita telah mengumpul sebanyak RM300,000 dengan rakan strategik yang yakin dengan fungsi Food Bank ini. Sehingga semalam, kita telah mengeluarkan nilai bantuan bersama rakan strategik sebanyak RM1.3 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantu-Bantu Malaysia di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini.

Sumbangan 1,000 hamper diserahkan oleh pengasas syarikat pemaju hartanah, Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew yang juga mengasaskan inisiatif Bantu-Bantu Malaysia kepada JAWI.

Mohd. Ajib memberitahu, walaupun masjid dan surau Jumaat ditutup, fungsi dan peranannya tetap dapat dimainkan ketika tempoh PKP ini dengan membantu masyarakat tanpa mengira Islam atau bukan Islam.

“Ini menunjukkan JAWI Food Bank juga menjalinkan hubungan dengan rakan strategik bukan sahaja Islam bahkan rakan-rakan bukan Islam turut sama membantu menjayakan program ini sekali gus menggambarkan satu usaha yang baik ke arah kita menyuburkan perpaduan, keharmonian dan menunjukkan keindahan Islam,” katanya.

Sumbangan kali ini merupakan bantuan untuk fasa kedua di mana sebelum ini membabitkan 1,000 kampit beras 5kg, 20,000 topeng muka, 300 Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan 50,000 roti bom.

Kata, Mohd. Ajib, antara rakan strategik JAWI Food Bank ialah rangkaian Restoran Ali Maju, Pertubuhan Kebajikan Datuk Mohd Chan, Surau Jumaat Tabung Haji, Surau Jumaat Bank Islam dan Surau Jumaat PNB dan QSR Brand.

“Kesemua sumbangan ini berjumlah lebih kurang RM1.3 juta dan kita bersyukur dapat memberikan bantuan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Jalan Masjid India baru-baru ini.

“Begitu juga gelandangan dan hingga saat ini kita memberikan makanan untuk berbuka puasa, makanan bersahur kepada Individu Dalam Siasatan (PUI) dan petugas barisan hadapan yang kini berjumlah hampir 5,000 pek,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas