SELARAS hasrat Kerajaan MADANI untuk menggerakkan pembaharuan undang-undang kontrak di Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dengan kerjasama Universiti Monash dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Pindaan Akta Kontrak 1950 [Akta 136].
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pindaan kali terakhir terhadap Akta ini telah dilakukan pada tahun 1976.
“Disebabkan itu, [Akta 136] sedia ada ini boleh dikategorikan sebagai undang-undang lapuk dan ketinggalan zaman. Sebahagian besar isi kandungan dalam akta tersebut menggunakan istilah-istilah lama serta berteraskan prinsip undang-undang yang sudah tidak relevan dengan keperluan zaman moden.
“Banyak peruntukan tidak mampu menangani isu kompleksiti dalam transaksi terutamanya transaksi e-dagang dan perjanjian berbentuk digital,” ujarnya.
Tambahnya jawatankuasa tersebut akan bertindak dengan membuat kajian bidang utama pembangunan undang-undang kontrak, mengkaji keputusan penting mahkamah Malaysia dan bidang teras undang-undang kontrak, membuat penyataan semula undang-undang kontrak, mengesyorkan keperluan pembaharuan [Akta 136] serta menyediakan laporan berhubung keperluan pembaharuan akta tersebut.
“Tempoh masa kajian adalah selama 24 bulan melalui tiga fasa yang ditetapkan. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah dihasratkan dapat melaksanakan kajian komprehensif terhadap Akta Kontrak 1950 [Akta 136],” katanya. – WILAYAHKU